Pengerusi Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari diumumkan sebagai satu-satunya calon ketua menteri Melaka jika Pakatan Harapan (PH) dipilih oleh rakyat negeri ini dalam pilihan raya negeri nanti.
Pengumuman ini dibuat oleh Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika majlis pelancaran manifesto PH Melaka hari ini.
Sehubungan dengan itu, Anwar meminta Adly selaku Pengerusi PH Melaka membentangkan manifesto PH Melaka yang dibentang untuk pilihan raya kali ini.
Turut serta dipentas ketika pengumuman itu dibuat adalah Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pengumuman Anwar menamatkan teka-teki sebelum ini siapa bakal dinamakan sebagai calon ketua menteri Melaka jika PH menang.
Menurut Anwar, PH adalah satu-satunya parti yang menyelesaikan isu hubungan antara parti-parti dalam komponen dan juga calon ketua menteri masing-masing.
“Hanya PH sahaja yang mantap kerana kita sudah selesai calon kita. Parti-parti lain masing-masing ada dua calon.
“Menang BN atau PN akan bawa kekecohan kerana mereka ada dua tokoh calon CM. Kita telah tonjolkan satu tokoh yang pernah memimpin kerajaan PH sebelum ini,” kata Anwar dalam majlis petang ini.
Adly Zahari adalah Ketua Menteri Melaka ketika PH memerintah negeri itu selama 22 bulan.
Menurut kajian yang dibuat oleh para penyelidik, rekod baik Adly ketika menjadi ketua menteri sebelum ini bakal memberikan peluang besar untuk PH menag dalam PRN kali ini.
sumber : https://malaysiadateline.com/adly-zahari-diumumkan-calon-km-melaka-jika-ph-menang/