Terkini : “PKR sudah mati”- Zuraida

Terkini : “PKR sudah mati”- Zuraida

TEMPOH tiga penggal menjadi Ahli Parlimen Ampang membuktikan betapa penduduk kawasan itu senang dan berpuas hati dengan khidmat yang disediakan oleh DATUK ZURAIDA KAMARUDDIN. Namun, sudah kedengaran suara-suara mahu mencabarnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Mampukah bekas Naib Presiden PKR ini mempertahankan kerusi Parlimen Ampang selepas meninggalkan parti itu bersama beberapa rakan seperjuangan, antaranya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (timbalan presiden) pada Februari tahun lalu?

Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZABRY MOHAMAD MADZLAN, Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkongsi pengalaman dan hala tuju sebagai wakil rakyat di Parlimen Ampang serta isu politik semasa.

UTUSAN: Parlimen Ampang dahulu dan sekarang?

ZURAIDA: Saya mahu berikan kredit kepada kerajaan pembangkang dahulu yang berjaya memperkenalkan sistem pentadbiran bentuk baharu di Selangor. Mereka yang mentadbir dahulu datang dalam kalangan orang macam saya, asal dari akar umbi yang sudah sebati memberikan khidmat kepada akar umbi. Jadi, kita yang mentadbir sekarang pun amalkan prinsip sama.

Apabila jadi wakil rakyat, saya pastikan semua lantikan politik seperti ahli majlis, ketua kampung, selalu turun padang. Sebelum ini masyarakat ramai yang tidak kenal ahli majlis mereka, ketua kampung mereka. Apabila peranan mereka lebih efektif, bukanlah nak puji saya ini bagus sangat tapi adalah perbezaannya dahulu dan sekarang.

Masyarakat sudah kenal, jadi mereka tahu mana nak salur aduan dan sebagainya. Dengan itu mereka menjadi masyarakat berpengetahuan. Apabila berpengetahuan, mudahlah kita memperkasakan mereka, kita membudayakan mereka.

Jadi, mereka tahu. Tak semestinya cari menteri, cari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Boleh terus salur (masalah) kepada pihak-pihak berkaitan. Inilah kaedah program pemerkasaan masyarakat yang berkesan.

Saya sudah 10 tahun jadi Ahli Parlimen Ampang. Struktur jentera sudah teratur dan tersusun. Mereka tahu apa nak buat, jadi tidak susah sangat kalau berdepan sebarang isu atau permasalahan. Kalau isu-isu besar barulah saya sendiri selesaikannya. Setiap hujung minggu, saya turun kawasan. Saya lihat mereka (jentera) lebih peka dan faham.

Begitu juga rakyat. Mereka sudah faham kerja-kerja wakil rakyat yang lebih kepada untuk melihat polisi, tengok perkara-perkara yang menaikkan imej kerajaan, imej rakyat. Jadi, tidak perlu nak tengok longkang banyak sangat. Kalau ada masalah, terus pergi MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya), adu kepada bahagian atau jabatan berkaitan.

Alhamdulillah, 10 tahun jadi wakil rakyat, banyak berurusan dengan rakyat, libatkan pejabat tanah, pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri. Banyak saya sudah belajar tentang isu-isu masyarakat, perundangan, sekali gus memudahkan kerja saya jadi menteri.

PRU-15 pertahan Parlimen Ampang?

Insya-Allah, kalau saya dibenarkan atau diluluskan bertanding semula di Ampang.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac, kedua-duanya dari PKR dikatakan mahu bertanding di Parlimen Ampang pada PRU-15. Komen?

It’s a free country. Siapa nak bertanding, datanglah. Semua orang boleh bertanding di mana dia suka. Saya yakin mampu mempertahankan kerusi sekarang. Saya yakin sebab orang (penduduk Ampang) yakin dengan kerja kita. Menang atau kalah adalah ketentuan Allah. Jadi, setiap usaha itu insya-Allah, ada ganjarannya.

PKR dahulu dan sekarang?

Ketika saya dan beberapa rakan seperjuangan keluar PKR, kami sudah 20 tahun di dalam parti itu. Kamilah yang bertanggungjawab membangunkan PKR. Kami tinggalkan PKR dalam keadaan kami menang dalam pemilihan parti. Mohamed Azmin menang jawatan timbalan presiden, saya menang naib presiden dan semua yang keluar dengan kita, separuh menang ahli majlis tertinggi parti. Ketua wanita dan timbalannya dengan kita, timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) pun duduk dengan kita.

Jadi, ini menunjukkan kepemimpinan yang meninggalkan parti itu tidak lagi melihat perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) untuk membawa keadilan kepada rakyat, mahu membela rakyat itu kita laksanakan. Apabila kita menang pilihan raya umum pada 2018, semua seolah-olah tiada lagi dibuat untuk memastikan beliau dapat jadi perdana menteri. Ini yang saya rasa PKR sudah hilang hala tuju.

Namun, saya berpendapat, tidak mengapa (bercita-cita) nak jadi perdana menteri. Tapi kita kena teruskan kerja untuk berkhidmat kepada rakyat. Fokus kita untuk kuatkan negara dan berkhidmat kepada rakyat. Fokus kita bukan untuk capai sesuatu jawatan, kemudian memporak-perandakan negara. Itu yang kita tidak setuju.

Tiada Mohamed Azmin, tiada Zuraida, PKR sudah bersih?

Saya tidak tahu. Pemberita lebih tahu apa yang berlaku (dalam PKR). Tapi apa yang saya dengar, seolah-olah sudah tiada gerakan, tiada aktiviti dan sebagainya.

Apa yang Datuk cari dalam politik?

Kalau diberikan sesuatu tugas, saya takut kepada Allah. Tanggungjawab yang diberi, saya kena tepati. Itu yang membuatkan saya terus dan terus bekerja tanpa henti. Kalau buat sesuatu kerja, selalu dapat kerja lain (baharu). Kalau turun padang, dapat benda lain. Maknanya tugas ini tidak berhenti.

Saya orang yang suka mengetengahkan idea-idea baharu untuk dilaksanakan.

Idea-idea baharu? Boleh ulas?

Selepas keluar PKR, kami tidak tubuh parti baharu. Kita berazam mahu memantapkan negara (kerajaan), tidak mahu berpecah lagi. Jadi, kita buat keputusan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tapi platform politik saya tiada dalam Bersatu, setakat duduk jadi ahli majlis pimpinan tertinggi (MPT), saya pun rasa janggal, berbanding semasa dalam PKR. Saya pernah jadi ketua wanita (PKR), suara saya vokal.

Kapasiti saya dalam Bersatu, tidak ada. Tapi sebagai pemimpin, saya boleh (laksanakan) apa sahaja. Sebab itu saya percaya walau tiada jawatan, masih boleh tahu apa saya nak buat.

Baru-baru ini saya menubuhkan Majlis Pimpinan Politik Wanita Malaysia (Comwel). Comwel adalah platform untuk saya membudayakan wanita. Ramai lagi wanita yang boleh diterima sebagai ahli Parlimen juga dalam menteri Kabinet sekurang-kurangnya 30 peratus, itu fokus saya sekarang.

Pencapaian sebagai ahli Parlimen?

PUSAT DIALISIS
Semasa mula-mula jadi ahli Parlimen, saya bina pusat dialisis di Kampung Melayu Ampang. Saya kasihan tengok anak-anak yang terpaksa bawa ibu bapa ke hospital kerajaan yang terletak jauh. Mereka kena tunggu sehari suntuk. Ada yang terpaksa ambil cuti, hilang pendapatan hari itu.

Justeru, saya dapatkan sebuah dewan, dirikan kemudahan ini untuk penduduk kampung itu dan sekitarnya. Sekarang masih ada lagi di situ.

ISU TANAH
Saya banyak juga selesaikan isu-isu proses tanah. Antaranya melanjutkan tempoh pajakan tanah Kampung Sungai Puteh kepada 99 tahun. Ketika itu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor. Saya menyelesaikan masalah pembahagian tanah di kampung tersebut.

Selain itu isu-isu melibatkan pemaju. Ketika itu kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang memperkenalkan dasar setinggan sifar. Nak roboh perkampungan setinggan, pemaju kena gantikan dengan membina rumah murah. Pemaju buat rumah mahal dahulu, rumah murah kemudian, itu pun cincai, Jadi, banyak perkara saya terpaksa selesaikan.

Itu belum lagi isu pampasan kepada penduduk yang tertunggak lima, enam tahun seperti penduduk Sri Impian. Saya cari pemaju, minta mereka bayar sikit-sikit sehingga habis (selesai).

CCC
Pemaju buat cincai laluan bomba, longkang tidak betul (tidak ikut spesifikasi hingga menjejaskan perolehan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC). Saya perjuangkan isu ini sebab walaupun rumah kecil, penduduk nak juga ownership (pemilikan) rumah mereka supaya rasa selamat untuk didiami.

KAMPUNG BEREMBANG
Semasa masih menjadi pembangkang, kita memperjuangkan kes penduduk setinggan Kampung Berembang di Jalan Ampang yang dihalau kerajaan negeri. Sebanyak 60 keluarga tidak mahu tinggalkan tempat itu, tinggal di rumah yang dibina sendiri, macam reban ayam, selepas rumah asal mereka dirobohkan. Kami memperjuangkan kes mereka dan bila menang di mahkamah, setiap keluarga dapat sebuah rumah secara percuma.

Manfaat SUKE kepada penduduk Ampang?

Kesesakan lalu lintas di Ampang sangat kritikal. Sudah 40 tahun, penduduk masih lalui masalah sama. Jadi, pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang dijadualkan siap September ini diharapkan dapat menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Perancangan untuk Ampang?

BALAI BOMBA
Antara perkara yang saya nak buat adalah membina balai bomba baharu di Taman Andaman, Ukay Perdana. Lokasi balai ini terletak di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

PARKIR
Saya juga nak alihkan salah satu lokasi popular kepada penduduk Ampang menjamu selera, iaitu Naan Corner di Ampang Jaya ke bangunan baharu terletak berdekatan. Lokasi asal itu akan kami bina kemudahan tempat letak kereta.

HIGHLAND TOWERS
Masa saya mula-mula jadi ahli Parlimen, kondominium ini sudah 10 tahun terbengkalai. Saya cuba nak uruskan tapi tidak cukup kuasa nak bergerak. Sebab masa itu saya kena jumpa bank, cari pemilik rumah, jadi terbantut di situ.

Sekarang sudah 21 tahun kawasan ini terbiar hingga menjadi sarang penagih dadah, penjenayah. Penduduk sekeliling rasa tidak selamat.

Apabila memegang jawatan menteri, saya berpeluang selesaikan isu ini. Alhamdulillah, dalam dua tahun berjaya selesaikan kerja-kerja tertangguh sebelum ini.

Sekarang nak cari duit untuk mendapatkan semula pemilikan tanah seterusnya membangunkan kawasan ini. Kementerian Kewangan sudah luluskan peruntukan. Dari segi perundangan, Peguam Negara juga sudah luluskan.

Sumber : Utusan

COMMENTS