Terkini : Polis sahkan Khairuddin memang diperiksa di SJR Perasing

Polis mengesahkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali diperiksa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Perasing di Kemaman pada 16 Mei lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, siasatan lanjut kini dijalankan termasuk dakwaan dan maklumat tular melibatkan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.

“Beliau ada diperiksa ketika melalui SJR itu pada 16 Mei lalu dan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman sedang melakukan siasatan berhubung kes ini,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dalam pada itu katanya, siasatan penuh akan dilakukan termasuk semua mesej berangkai yang ditularkan sejak Rabu bagi merungkai khabar angin dan dakwaan yang tersebar.

Rabu lalu tular maklumat menerusi aplikasi WhatsApp berhubung penahanan Mohd Khairuddin di SJR Perasing.

Ahli Parlimen terbabit didakwa berada dalam kenderaan bersama seorang wanita yang merupakan bekas isteri kepada pelakon Fizo Omar, Mawar Karim.

Kisah mengenai pemimpin Pas yang dikatakan berkahwin dengan seorang wanita berstatus janda itu hangat diperkatakan sejak semalam.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang penafian dibuat daripada kedua-dua pihak.

Pada 20 September 2020 tular di media sosial empat keping gambar Mawar mengunjungi beberapa lokasi menarik di Terengganu termasuk di jambatan angkat, bot penambang di Kuala Terengganu dan Pantai Rantau Abang di Dungun yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Mawar merupakan anak kepada pengasas tudung terkemuka dan mempunyai seorang anak, Wan Maryam yang kini berusia empat tahun.

sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/141129/BERITA/Semasa/Polis-sahkan-Khairuddin-diperiksa-di-SJR-Perasing