Terkini : Sekolah Seri Puteri Cyberjaya diarah tutup, 135 lagi positif Covid-19

Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya ditutup buat sementara waktu berikutan terdapat 135 lagi kes baharu positif Covid-19 dikesan membabitkan warga sekolah berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata penutupan sekolah itu dilakukan mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Selain aktiviti saringan dan pengasingan kes positif dan kontak rapat, sekolah telah diarahkan ditutup sementara bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi.

“Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut telah diadakan. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata, kluster sekolah itu juga dikenali sebagai Kluster Persiaran Tasik.

Katanya, kluster itu diumumkan pada 29 Nov apabila sebanyak lapan kes disahkan positif.

“Susulan daripada pengesanan kes-kes ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah melakukan saringan daripada 26 Nov hingga 3 Dis 2021 ke atas 973 orang warga sekolah dan mendapati 135 kes baharu positif Covid-19.

“Ini menjadikan keseluruhan kes Covid-19 dalam kluster ini seramai 143 orang iaitu 114 murid, 19 guru, dan 10 kakitangan; dengan kadar serangan 14.7%,” katanya.

Katanya, daripada 143 kes yang positif 106 kes dalam Kategori 1 dengan 35 kes lain adalah dalam Kategori 2A dan dua kes dalam Kategori 2B masing-masing seorang guru dan seorang murid.

Beliau berkata, semua yang positif termasuk seorang guru berada dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Serdang (MAEPS) untuk rawatan dan pemantauan lanjut.

Sementara itu, Hisham berkata pihaknya turut mengesan 700 kontak rapat iaitu 603 murid, 59 guru, dan 38 kakitangan.

“Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing,” katanya.

sumber : FMT