Terkini : Selepas lama menyepi, Lee Zii Jia kemuka permohonan kepada BAM

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia sudah menghantar surat rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini susulan tindakan badan induk itu yang tidak akan mendaftarkan dirinya menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun selepas memutuskan untuk bergerak secara profesional.

Memetik dari Bharian, BAM dalam satu kenyataan berkata, badan induk itu akan meneliti perkara berkenaan secepat mungkin bagi mencari penyelesaian terbaik.

Dalam kenyataan yang sama, BAM sedar kemelut yang melanda ketika ini memberi impak yang mendalam bukan sahaja kepada komuniti badminton tetapi kepada rakyat Malaysia.

“Kami sedar mengenai kemarahan dan kekecewaan yang dinyatakan terhadap persatuan. Keadaan ini amat mencabar dan mendapat perhatian semua pihak, daripada ahli politik sehinggalah pemain antarabangsa.

“Kami menghargai semua komen, kritikan dan maklum balas yang ditujukan kepada kami. Kami akan mengambil perhatian tentang sentimen yang diluahkan oleh rakyat Malaysia.

“Sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab, kami mempunyai proses dan prosedur yang mesti dipatuhi. Tindakan Majlis BAM adalah berdasarkan prosedur rasmi berdasarkan maklumat yang disampaikan kepada mereka.

“Bagaimanapun, penting untuk dijelaskan bahawa keputusan ini bukanlah tidak boleh dirayu. Dalam sejarah institusi kami, semua pemain mempunyai hak untuk merayu berhubung keputusan dibuat oleh majlis dan BAM akan menelitinya secara menyeluruh.

“BAM berada di sini untuk melindungi bukan saja sukan itu sendiri tetapi pemain, nilai dan standard terbaik bagi mewakili negara kita yang tercinta,” katanya.

Jumaat lalu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.