Terkini : Sokongan pada Muhyudin jatuh mendadak, menurut kaji selidik bebas

Sokongan pengundi terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin merosot kepada 51% pada suku pertama tahun ini berbanding 66% pada suku kedua tahun lalu, menurut satu kaji selidik bebas.

Menurut kaji selidik dijalankan O2 Malaysia, pusat penyelidikan berpusat di Kuala Lumpur, hanya perdana menteri Perikatan Nasional itu menunjukkan kemerosotan sokongan berbanding pemimpin parti politik lain yang mempunyai tahap sokongan konsisten.

Walaupun sokongan terhadap Muhyiddin semakin menurun, beliau masih kekal sebagai pemimpin mendapat sokongan tertinggi diikuti Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dengan sokongan popular sebanyak 34%; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (30%); Presiden PKR, Anwar Ibrahim (26%); Presiden Amanah, Mohamad Sabu (22%) manakala Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menduduki kedudukan tercorot dengan 11%.

Kemerosotan sokongan pengundi terutama golongan belia terhadap kepimpinan Muhyiddin semakin jelas apabila berlaku beberapa protes dan demonstrasi di ibu negara dan Johor sejak akhir-akhir ini antaranya Undi18 dan ‘Kerajaan Gagal’.

FMT baru-baru ini juga melaporkan orang di sekeliling Muhyiddin termasuk beberapa menteri memberi amaran mengenai kemarahan rakyat yang semakin meningkat, dengan harapan kerajaan akan menggunakan strategi komunikasi yang lebih baik untuk meredakan ketegangan.

Dua orang sumber dalam parti Bersatu itu berkata, kerajaan gagal berkomunikasi secara berkesan dengan rakyat, bergantung hanya pada data dan bukan kisah sebenar mengenai rakyat yang menderita Covid-19.

Sementara itu, kajian berkenaan mendedahkan populariti bekas perdana menteri Najib Razak meningkat kepada 27% berbanding 21% pada suku ketiga tahun lalu.

“Sokongan popular Dr Mahathir Mohamad pula terus merosot daripada 40% pada suku kedua tahun lalu kepada 33% suku pertama tahun ini. Sokongan popular kepada dua bekas perdana menteri adalah pada kedudukan median,” menurut kajian berkenaan.

Kaji selidik yang dijalankan antara 26 Mac hingga 9 April itu melibatkan seramai 1,602 responden terdiri daripada 54% pengundi Melayu, 28% Cina, 11% Bumiputera Sabah dan Sarawak manakala kaum India sebanyak 7%.

Kaji selidik itu bertujuan meneliti tahap sokongan dan kecenderungan pengundi terhadap arus perkembangan politik semasa negara.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/19/sokongan-terhadap-muhyiddin-merosot-menurut-kaji-selidik-bebas/