Terkini: Sultan terima mengadap MB Perak petang ini

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan untuk terima mengadap Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu yang gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya hari ini.

Menurut Astro Awani, Faizal mengesahkan majlis mengadap itu tetapi masanya tidak dijelaskan.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan bahawa baginda akan menerima mengadap speaker dewan undangan negeri Perak, Mohamad Zahir Abdul Khalid pada jam 5 petang.

Awal hari ini, Zahir menangguhkan sidang DUN Perak sehingga Rabu depan (9 Disember) susulan keputusan wakil rakyat yang menggulingkan Faizal sebagai menteri besar.

Menteri besar gagal mendapat sokongan apabila 48 daripada 59 Adun memilih untuk menolak usul percaya yang dibawa oleh Adun Pengkalan Bharu, Abd Manaf Hashim.

Abd Manaf adalah wakil Umno yang bersama gabungan BN, yang bersekutu dengan Perikatan Nasional (PN). Faizal pula menerajui PN Perak.

Secara teknikal, Faizal masih menteri besar sehingga dia meletakkan jawatan selepas mengadap sultan.

Bercakap kepada media sejurus selepas keputusan undian diumumkan, Faizal berkata dia tidak akan memohon kepada sultan supaya DUN Perak dibubarakan walaupun dia boleh berbuat demikian. Menurutnya, gabungan PN-BN-PAS di negeri itu masih utuh.

“Bila saya menghadap Sultan, saya boleh menyembah agar Dewan (DUN) dibubarkan, (namun) adakah itu yang kita mahu? Sama sekali tidak, (kerana) keadaan (sekarang) tidak kondusif untuk pilihan raya. Jadi apa yang saya harus lakukan?

“Saya perlu akur dan beri sokongan kepada sesiapa sahaja yang Tuanku pilih sebagai menteri besar dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Malaysiakini difahamkan bahawa Sultan Perak akan terima mengadap setiausaha kerajaan negeri Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan penasihat undang-undang Perak Azmir Shah Zainal Abidin pada jam 4.30 petang.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/553802