Terkini : Tular gambar Zahid dan Ismail sudah berdamai

Ahli Parlimen UMNO termasuk bekas menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah berdamai?

Itu persoalan ramai selepas tular gambar dalam hantaran Facebook salah seorang Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Armand Azha hari ini.

Beliau juga menulis; Syukur Alhamdulilah #SayaPilihPendamaian.

Bagaimanapun Armand tidak menyatakan apa sebenar yang berlaku dalam hantaran yang sama.

Dalam gambar itu kelihatan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan naib presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob duduk bersama-sama.

Pertemuan itu dipercayai di Ibupejabat UMNO di sini memandangkan terdapat gambar Piagam Muafakat Nasional.

Ahmad Zahid juga dilihat berpakaian sut lengkap bersongkok dipercayai sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Sebelum itu, hubungan Ahmad Zahid dan Ismail Sabri dilihat berbeza apabila Presiden UMNO dan beberapa pimpinan parti menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri manakala Ismail Sabri mewakili beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Muhyiddin.

Persoalannya, dalam senario sekarang, adakah sokongan kesemua ahli Parlimen UMNO dan BN bersepakat dalam menentukan siapa calon Perdana Menteri dalam kalangan mereka bagi menggantikan Muhyiddin?- MalaysiaGazette