Tular di media sosial China, kisah seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang telah membuat sembilan laporan di balai polis dalam tempoh setahun yang lalu kerana merasa ayahnya lebih menyayangi kakaknya.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan bahawa setiap kali dia merasa diabaikan, kanak-kanak dari wilayah Hunan di selatan China itu akan berjalan sejauh satu kilometer (km) dari rumahnya ke balai polis terdekat untuk membuat aduan.
Menerusi rakaman video, kanak-kanak lelaki tersebut terlihat duduk di sebelah seorang anggota polis beruniform sambil menangis, marah, dan meluahkan keluhannya mengenai bapanya yang pada fikirannya lebih menyayangi kakaknya.
“Siapa yang buat awak marah sangat?” tanya polis dalam satu video.
“Ayah saya,” jawab kanak-kanak lelaki itu sebelum menangis teresak-esak.
Bapa kanak-kanak lelaki kemudian datang ke balai polis sambil membawa kotnya. Dia kemudian cuba memakaikan kot itu pada anaknya.
“Pakai kot, boleh?” tanya ayahnya. “Tidak”, jerit kanak-kanak lelaki itu.
Kanak-kanak itu kemudiannya ditenangkan sebelum mengakui bapanya seakan tidak menyayangi dirinya.
Butiran mengenai kedatangan kanak-kanak tersebut ke balai polis sebelum ini tidak dinyatakan dalam video tersebut, tetapi ibunya telah mengesahkan bahawa anaknya telah melakukan perkara serupa sebanyak lapan kali sebelumnya.