Seorang remaja berusia 18 tahun di England telah didiagnosis dengan keadaan yang jarang berlaku di mana badannya tidak dapat menyimpan sebarang lemak lalu menjadikannya terlalu kurus.
Dylan Lombard dilaporkan mengidap masalah Mandibular Hypoplasia, Deafness, dan Progeroid (MDP) sejak dia masih bayi lagi.
Difahamkan, MDP adalah jenis gangguan metabolik yang sangat jarang berlaku di mana tisu lemak tidak dapat disimpan di bawah kulit individu yang mengalaminya.
“Saya dilahirkan dengan keadaan kurus sebegini, tetapi ia tidak disyaki apa-apa (sindrom) sehinggalah saya berusia 18 bulan. Ibu saya melihat berat badan saya turun dan dia agak risau.
“Doktor memerlukan 10 tahun untuk mendiagnosis saya dengan keadaan sebegini setelah pemeriksaan berkala dijalankan kerana terlalu kurus,” katanya, memetik laporan Mirror baru-baru ini.
Dylan turut mempunyai ciri-ciri yang lain iaitu memiliki rahang bawah yang kecil, hilang pendengaran serta kulit yang agak tegang.
Walaupun tidak normal seperti remaja lain, Dylan tetap meneruskan hobinya yang diminati iaitu berfotografi.
Untuk rekod, hanya 13 orang di dunia ini yang menghidapi MDP setakat ini.
Baca juga: Dahsyat! Iphone ini masih hidup walaupun tercampak dari pesawat terbang