Berbaki satu hari ke upacara pembukaan sukan termasyhur dunia iaitu Olimpik 2024 yang bertempat di Paris.
Para kontinjen Malaysia pastinya masing-masing sudah melabuhkan sayap mereka di sana dan bersiap sedia untuk bertanding.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, pastinya hadiah yang ditawarkan untuk atlet Malaysia membuatkan ramai terkesima dek kerana jumlahnya yang besar.
Tahun ini, Top Residency dan Senheng New Retail Bhd (Senheng) menjadi salah satu syarikat korporat yang menjanjikan hadiah lumayan buat atlet.
Akhbar tempatan turut melaporkan Top Residency telah menawarkan sebuah pangsapuri mewah di Setia Alam bernilai RM1 juta sebagai ganjaran kepada mana-mana atlet yang berjaya memperoleh pingat emas pertama untuk kontinjen negara di Paris.
Senheng juga menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta kepada tiga pemain badminton negara, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, dan Chen Tang Jie, jika mereka berjaya memenangi pingat emas. Namun, jika terdapat lebih daripada satu pemenang, wang tunai tersebut akan dibahagikan sama rata antara mereka.
Sebelum ini, Cherry Malaysia menjanjikan ganjaran menarik berupa kenderaan utiliti sukan (SUV) Tiggo 8 Pro kepada atlet yang memenangi pingat emas, Omoda E5 untuk pemenang pingat perak, dan Tiggo 7 Pro bagi pemenang pingat gangsa.
Di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), pemenang emas Sukan Olimpik akan menerima RM1 juta, perak (RM300,000) dan gangsa (RM100,000).
Atlet turut menerima Skim Imbuhan Tetap Olimpik yang diberikan secara bulanan sepanjang hayat dengan pemenang emas diberikan RM5,000, perak RM3,000 dan gangsa bernilai RM2,000.
Baca juga: Terkejut bila tahu identiti sebenar bomoh fitnah Zulfarhan Zulkarnain, rupa-rupanya..