Terpaling ‘hantu’, ini sebab Halloween haram disambut oleh umat islam

Sambutan Halloween biasanya disambut di kebanyakan negara dengan tema malam ‘hantu’ kerana ia dikaitkan dengan perayaan yang memperingati orang yang telah meninggal dunia.

Sambutan Halloween mungkin meriah kerana banyak orang memakai kostum hantu seperti Drakula, dan juga menghias buah labu dengan wajah seram, serta menyertai pelbagai aktiviti seram lain.

Malah di Malaysia sendiri, ia semakin dinormalisasikan dengan pelbagai aktiviti seperti Night of Frights yang disambut setiap tahun di Sunway Lagoon.

Malahan di pusat beli belah juga kelihatan banyak premis yang dihiasi dengan tema Halloween malah tidak hairanlah andai ramai anak muda yang mahu menyambut perayaan hantu ini.

Namun adakah sambutan Halloween ini boleh disambut oleh umat Islam? Mari ikuti hukum dan penjelasannya di laman portal Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di bawah ini.

Soalan: Apakah hukum menyambut perayaan Halloween?

Halloween merupakan perayaan yang disambut pada 30 Oktober setiap tahun bagi memperingati orang yang telah mati. Halloween juga disebut dengan Hallowe’en dan perayaan ini juga disebut sebagai All Hallow Eve atau All Saints’ Eve.

Perkataan Halloween/Hallowe’en muncul dalam tahun 1745M dan agama kristian dikatakan memulakan penggunaannya. Perkataan halloween bermaksud “hallowed evening” atau “holy evening” (petang yang mulia) dan dikatakan juga berasal dari bahasa Scotland (Scottish). Orang Celt di Scotland dikatakan merayakan perayaan ini dengan tradisi paganisme sempena musim menuai mereka

Sambutan Halloween

Halloween disambut dikebanyakan negara bukan Islam pada 30 Oktober pada setiap tahun. Perayaan ini selalunya disambut pada waktu malam dan dilakukan dengan berpakaian aneh dan berjalan dari pintu ke pintu rumah dan meminta gula-gula atau coklat dengan berkata “Trick or treat!”. Ucapan “Trick or treat!” merupakan semacam “ugutan” yang membawa maksud “Beri kami (gula-gula) atau kami buat kacau.”

Kanak-kanak zaman sekarang biasanya tidak lagi membuat kacau di rumah orang yang tidak memberi apa-apa. Sebahagian kanak-kanak masih membuat kacau di rumah orang yang dianggap kedekut dengan cara “menghiasi” pohon yang ada di depan rumah dengan kertas tisu atau menulis di tingkap dengan sabun.[1]

Halloween biasanya dikaitkan dengan syaitan, ahli sihir, hantu, Goblin dan makhluk-makhluk mitos dan menyeramkan lain dari kebudayaan Barat. Halloween disambut dengan menghiasi rumah dan pusat membeli-belah dengan simbol-simbol Halloween tersebut.

Hukum Halloween

Dikatakan  di sini bahawa menyambut perayaan Halloween adalah haram di sisi Islam. Ini kerana berdasarkan kajian sejarah, didapati bahawa perayaan ini merupakan syiar bagi sebahagian penganut agama Kristian dan mereka menyambutnya demi memperingati roh-roh yang telah meninggal dunia.

Rasulullah SAW telah melarang kita dari menyerupai orang kafir. Sabda Baginda SAW dari hadis Ibn Umar R.Anhuma:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم  : مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: Telah berkata Rasulullah SAW: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka mereka tergolong dalam golongan itu”.

Riwayat Abu Daud (4031)

Berdasarkan hadis di atas maka seorang Muslim itu dilarang untuk meniru gaya atau kelakuan atau pakaian yang khusus dikenali dengan unsur jahat atau adat perayaan yang boleh menimbulkan salah sangka orang ramai terhadap orang yang menyerupai perkara-perkara tersebut.

Al-Imam al-San’ani Rahimahullah berkata bahawa hadis di atas menunjukkan barang siapa yang menyerupai orang-orang fasiq ataupun kafir ataupun orang yang melakukan bid’ah dalam apa jua perkara yang dikhaskan padanya dari segi pemakaian, tunggangan ataupun gerak-geri tingkah laku maka dirinya tergolong dalam kalangan mereka. [Subul al-Salam. Dar al-Hadis, 2/647]

Disebutkan juga pendapat lain yang mengatakan bahawa tasyabbuh itu juga berlaku dalam perkara-perkara dalaman bersifat i’tiqadiradat (kemahuan dan kehendak) dan perkara-perkara luar dari segi perkataan, perbuatan yang boleh menjadi ibadat dan adat. [Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 6/104]

Pendapat Ulama

1. Sheikh Muhammad Salih al-Munajjid juga mengatakan haram bagi umat Islam menyambut hari Halloween kerana menyerupai orang kafir.

2. Sheikh Dr. Ahmad Sa’id Hawwa ahli Syrian Islamic Council mengatakan bahawa haram bagi umat Islam untuk menyambut hari Halloween. Halloween menurut beliau adalah hari yang suci yang di sambut oleh penganut masihi dan umat Islam dilarang untuk mengikuti dalam perayaan mereka.[4]

3. Mufti Negeri Pahang, S.S Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman juga berkata bahawa umat Islam haram hukumnya untuk menyambut hari Halloween. Tambah beliau lagi, selain hari Halloween, beberapa lagi hari sambutan kesan pengaruh barat seperti Valentine’s Day dan April’s Fool juga haram diraikan kerana berkait rapat dengan unsur agama lain. Tambah beliau lagi, sambutan-sambutan sebegini merupakan agenda luar untuk menyesatkan akidah umat Islam dengan cara yang tidak disedari.

Baca juga: Mulut anak kena tekup dalam gambar nikah, bekas isteri Fizi Ali beri ‘amaran keras’