Seorang peniaga telah menjumpai wang tunai sebanyak 550,000 yen (bernilai sekitar RM20,755.84) dalam pakaian terpakai ketika membuka guni ‘bundle’ di kedainya di Kampung Tualang Salak, Jelawat, Bachok.
Penjual tersebut Wan Mohamad Adam Wan Mohamed, 29 tahun, menceritakan bahawa beliau membeli dua guni bundle di sebuah gudang di Wakaf Bharu pada Sabtu yang lepas, setiap satu dengan harga RM50 dan mengangkutnya pulang ke kedai.
“Saya membuka guni berkenaan untuk disimpan memandangkan saya akan membuka kedai ‘bundle’ dalam masa terdekat dan menemui beg duit warna hitam di dalam kot.
“Saya terkejut melihat wang tunai yang terlalu banyak dan membuat kiraan sebelum mengambil gambar dan memuat naik di laman Facebook jam 9.20 malam kelmarin,” katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu, di sini, hari ini.
Wan Mohamad Adam turut mendakwa bahawa penemuan wang tersebut merupakan satu rezeki baginya, terutamanya setelah beliau membeli lebih daripada 10 guni ‘bundle’ sejak sebulan yang lalu.
Katanya, dia juga tidak menemui identiti pemilik wang itu dan hanya satu beg duit bersama satu kot.
“Sejak memuat naik di Facebook pelbagai reaksi yang diterima apabila orang ramai mahu membeli beg duit dan kot berkenaan. Namun, saya tidak akan menjual barangan itu kerana ia adalah pembuka rezeki.
“Wang itu akan saya gunakan untuk membuat modal bagi membesarkan perniagaan bundle. Saya sudah menukar wang berkenaan sebanyak 450,000 yen (RM16,800) dan bakinya akan disimpan untuk kenangan,” katanya.
Baca juga: Syarikat tawar RM47,000 jika anda boleh hidup tanpa telefon setahun