Terpisah dari ibu bapa sejak 47 tahun yang lalu bukanlah sesuatu yang diminta malah ianya menjadi episod sukar diterima baik di kedua-dua pihak.
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan momen pertemuan antara bapa dan anak selepas terpisah hampir 47 tahun.
Petronela Lela atau dikenali sebagai Nela, dilaporkan telah menghilangkan diri secara tiba-tiba ketika berusia 20 tahun di Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia.
Menerusi laporan Tribunnews, kali terakhir Nela dilihat adalah sekitar tahun 1970-an iaitu ketika membantu ibu saudaranya berniaga di pasar.
Meskipun tiada petunjuk keberadaan Nela, namun si ayah, Yosep Koa percaya bahawa anak perempuannya itu masih hidup malah dia setia menunggu kepulangan Nela.
Sehinggalah pada 16 September 2023, selepas 47 tahun, Nela akhirnya kembali ke pangkuan keluarganya di kampung. Suasana bertambah hiba apabila Nela dilihat menangis sambil memeluk erat dan mencium ayahnya yang duduk di atas kerusi roda.
Menurut sumber, penemuan keluarga ini adalah selepas cucu Nela iaitu Wilda membuat Kajian Kerja Sebenar (KKN) di sebuah kampung. Kebetulan sepanjang KKN itu, Wilda tinggal di rumah Kanis (adik Nela).
Gelagat yang ditunjukkan Wilda membuatkan Kanis teringat akan Nela. Disebabkan itu, Kanis mula bertanya tentang latar belakang Wilda sekeluarga.
Sehinggalah akhirnya keluarga Kanis meminta untuk berjumpa dengan ibu bapa Wilda. Setibanya di kampung halaman Wilda, keluarga Yosep terkejut kerana semua ciri anak kandung Yosep ada pada Nela.
Akhirnya terbongkar mengenai Nela yang dikatakan hilang ingatan pada usia 20 tahun.