Tersenarai sebagai artis yang diboikot, Nadhir Nasar mohon maaf

Nama Nadhir Nasar menjadi sasaran netizen berikutan dirinya yang giat mempromosikan produk dan jenama mewah yang didakwa menyokong pihak Zionis.

Menurut Nadhir, keputusan untuk bekerjasama dengan beberapa jenama tersebut dibuat kerana menurutnya ia mampu melebarkan kariernya ke puncak lebih tinggi.

“Maaf atas kekhilafan saya dan rakan artis yang lain. Netizen mempunyai hak untuk bersuara dan impak tersebut sangat besar, percayalah.

“Kerjasama dengan jenama tersebut dibuat tahun lalu dan berdasarkan keadaan ketika itu. Keputusan saya bekerjasama dengan mereka berdasarkan komitmen ikhlas untuk memupuk kreativiti dan menyokong artis seperti saya.

“Walaupun memahami dan menghormati kebimbangan yang dikemukakan, adalah penting saya teruskan komitmen kontrak saya dengan mereka,” katanya.

Dia turut menambah denda dan penalti yang tinggi akan dikenakan sekiranya dia ingin membatalkan mana-mana kontrak yang sudah ditandatangani sebelum ini.

“Usaha menamatkan kontrak sebelum tamat tarikh kontrak akan memberi impak seperti denda, penalti wang dan potensi dikenakan tindakan undang-undang.

“Perkara ini bukan sahaja memberi kesan kepada diri saya malah orang lain yang terlibat dalam kolaborasi berkenaan,” ujarnya,

Menurutnya, dia sedar akan ketidakpuasan hati netizen yang mahukannya menangani isu tersebut dengan lebih positif.

“Saya ingin memberi jaminan bahawa saya mengambil maklum balas dengan serius, dan saya komited untuk menangani sebarang kebimbangan dengan cara yang telus dan membina.

“Pada masa akan datang, saya akan terus melibatkan diri dengan komuniti dan berusaha untuk menggunakan platform saya untuk mempromosikan positif dan perubahan sosial,” katanya lagi.

Sebelum ini, terdapat gerakan yang dikenali sebagai Blockout2024 yang bertujuan untuk memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk yang menyokong kekejaman Zionis di Palestin.

Nama yang turut mengungguli carta tersebut antaranya ialah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga, dan Justin Bieber.

Baca juga: Darjah kebesaran, pingat ‘luar’ tanpa perkenan Agong tidak sah diguna pakai