‘Tiada harta, tiada anak kini sebatang kara, Zaiton perlukan bantuan JKM’

Penyanyi era 1980-an, Zaiton Sameon, 67, kini hidup sebatang kara dan menumpang hidup di rumah anak angkatnya sangat memerlukan bantuan kewangan.

Beliau memerlukan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mengurangkan bebanan kos sara hidupnya.

Zaiton berkata, dia kini dalam kesusahan dan amat memerlukan bantuan kewangan daripada JKM tetapi tidak tahu bagaimana prosedurnya dan berharap pihak JKM dapat membantu.

“Tawaran persembahan menyanyi sekarang dah tak banyak. Begitu juga perniagaan rendang yang saya buat sebelum ini, sudah lama dihentikan kerana kekangan kewangan dialami.

“Saya tiada rumah, tiada harta, tiada anak, tiada ibu bapa dan tiada semuanya. Kasihan betul hidup saya,” katanya yang kini tinggal menumpang di rumah anak angkatnya.

Zaiton berkata, dia juga ada memohon bantuan rumah menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Kuala Lumpur tahun lalu, namun hingga kini masih tidak mendapat apa-apa jawapan daripada pihak berkenaan.

“Minta bantuan rumah pun tak dapat lagi, beginilah nasib saya. Apapun, saya hanya mampu berdoa serta berharap agar ada pihak daripada JKM dapat membantu. Tolonglah saya,” katanya.

Pada 14 November tahun lalu, Zaiton menerima Kad Orang Upaya (OKU) menerusi kategori OKU Fizikal: Traumatic Brain Injuries (Trauma Kecederaan Otak) daripada JKM Wilayah Persekutuan.

Zaiton yang popular dengan lagu Menaruh Harapan pernah mengalami kemalangan jalan raya di Batang Kali, Selangor pada 1990 yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar yang ketika itu berusia 13 tahun meninggal dunia.

Penyanyi yang merangkul juara Anugerah Juara Lagu (AJL) 1987 ini turut parah di bahagian kepala hingga menyebabkan dia hilang ingatan sementara.

Baca juga: Tuduhan fitnah oleh Mondy, Ebit Lew tampil buat laporan polis untuk ambil tindakan