Tiada masa rehat untuk Anwar, jadual padat di Qatar untuk tarik lebih ramai pelabur

Tiada masa rehat untuk Anwar apabila berada di Qatar. Misi menarik pelabur baharu dari Asia Barat diteruskan di Qatar dengan jadual padat menanti Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang tiga hari lawatan rasmi beliau ke negara Arab Teluk ini.

Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Qatar pada 2023 mencapai RM4.2 bilion, yang merupakan jumlah tertinggi sejak pertama kali merekodkan angka AS$1 bilion pada 2022.

Mengawali lawatan hari ini, Perdana Menteri akan diberikan sambutan rasmi di Amiri Diwan, dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani dijangka menyambut ketibaan beliau.

Amiri Diwan merupakan dewan pemerintahan Qatar, badan berdaulat yang juga menempatkan pejabat pentadbiran Emir Qatar.

Tumpuan di Amiri Diwan akan terarah kepada pertemuan dua mata antara Anwar dan Emir Qatar, selain perjumpaan Perdana Menteri dengan rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, yang juga Menteri Luar Negeri Qatar.

Selain membincangkan potensi pelaburan dan hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Doha yang penting, terutama dalam merayakan 50 tahun hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar sejak 1974, pertemuan ini juga dijangka menyentuh isu konflik Asia Barat, khususnya berkaitan dengan Palestin.

Malaysia dikenali sebagai salah satu negara yang menonjolkan suara terhadap isu Palestin, sementara Qatar memainkan peranan penting sebagai mediator dalam konflik di Gaza antara Israel dan Palestin.

Dengan perkembangan semasa mengenai konflik tersebut, sudah tentu pembahasan mengenai isu Palestin akan menjadi salah satu agenda utama Anwar semasa lawatan ini.

Pada sebelah petang, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan dijadual berjumpa dengan lebih 30 kapten industri di Qatar, dimana peluang ini akan digunakan untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik.

Qatar merupakan rakan perdagangan kelima terbesar bagi Malaysia, dengan ekspot utama Malaysia ke Qatar adalah produk besi dan keluli (37.2 peratus); jentera, kelengkapan, dan peralatan (16.5 peratus); produk minyak sawit dan pertanian berasaskan minyak sawit (8.5 peratus), manakala import Malaysia dari Qatar terdiri daripada produk petroleum (47.4 peratus); petroleum mentah (31.5 peratus); kimia dan produk kimia (10.5 peratus); barangan perkilangan logam (9.3 peratus); dan produk perkilangan berasaskan minyak sawit (0.3 peratus).

Anwar juga dijadual berkongsi misi dan visi beliau melalui syarahan umum di Hamad Bin Khalifa University sebelum mengakhiri jadual hari pertama bersama kira-kira 500 rakyat Malaysia di Qatar.

Baca: Laporan awal Tragedi Helikopter TLDM dikeluarkan, lima fakta mengejutkan ramai