Prof Dr Edmund Terence Gomez, meletakkan jawatannya sebagai ahli panel Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa agensi itu gagal membincangkan laporan kritikal membabitkan pegawai tinggi SPRM.
Antaranya berhubung dakwaan pemilikan kira-kira 2 juta unit saham oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di sebuah syarikat senarai awam.
Gomez mendakwa perletakan jawatannya itu selepas Pengerusi Panel Perundingan SPRM, Tan Sri Borhan Dolah gagal membalas surat-suratnya untuk mengadakan mesyuarat segera berhubung isu tersebut.
Kata Gomez, ‘ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera’ selepas tersebar dakwaan bahawa seorang bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM terlibat dalam situasi konflik berkepentingan.
Pertama kali beliau menghantar surat kepada Borhan Dolah pada 12 November lalu, dan menggesanya agar mengadakan mesyuarat untuk membincangkan “isu kritikal berkaitan kepentingan negara”.
Walaupun Borhan memberi respons segera dan setuju untuk mengadakan mesyuarat, ia akhirnya tidak terlaksana.
Tambah Gomez, dua lagi surat telah ditulis kepada Borhan berhubung perkara itu dan melampirkan maklumat lanjut yang diterimanya berhubung perniagaan melibatkan keluarga Azam.
Selepas dua surat itu diserahkan, satu bertarikh 26 November dan satu lagi pada 14 Disember 2021, Gomez mendakwa tiada lagi balasan yang diterima daripada Borhan.
“Saya kemudian menyatakan bahawa jika saya tidak mendengar balasan daripada anda, saya akan menghantar surat peletakan jawatan saya.
“Sekarang sudah dua minggu sejak saya menghantar surat ini (surat ketiga diserah pada 14 Disember 2021).
Saya tiada pilihan selain meletakkan jawatan yang sepatutnya dilihat sebagai bantahan saya atas kelewatan pihak tuan, sebagai pengerusi panel untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu yang panel ini bertanggungjawab untuk meneliti,” katanya.
-mhdaily-