Tidak jujur, Takiyuddin cabar Khairuddin nyatakan punca dia dipecat PAS

Timbul tanda tanya kini mengapa Ahli Parlimen Kuala Nerus, Mohd Khairuddin Aman Razali dipecat daripada jawatannya sebagai anggota Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat.

Memetik dari Malaysiakini, di sebalik tanggapan umum bahawa dia digugurkan kerana pendiriannya terhadap Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN), hari ini seorang pemimpin kanan PAS menegaskan sebaliknya.

Malah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mencabar Khairuddin – atau mana-mana pemimpin – untuk menyatakan bahawa isu MN dan PN – adalah punca pemecatan tersebut.

“Adakah dia (Khairuddin) berani mengatakan bahawa soal ini (pendirian MN dan PN)?

“Kalau dia berani, dia buat kenyataanlah: ‘Saya dipecat kerana ini (MN dan PN). Kalau berani, silakan,” katanya kepada media di Kota Bharu hari ini.

Menurut Takiyuddin dia tahu benar apa yang berlaku dalam mesyuarat yang memutuskan pemecatan tersebut kerana menjadi sebahagian daripada anggota pertemuan berkenaan.

Sebelum itu Ahli Parlimen Kota Bharu itu ditanya mengenai punca pengguguran Khairuddin daripada badan atasan PAS itu digambarkan kerana pendiriannya terhadap MN – yang dimeterai bersama Umno.

Kerana masalah pentadbiran

Takiyuddin malah berkali-kali menegaskan bahawa keputusan tersebut tidak ada kena-mengena langsung dengan isu MN dan PN.

“Not at all (tidak sama sekali), walaupun saya tak nak menghuraikan puncanya, tapi sama sekali tak ada kaitan dengan MN atau PN,” katanya.

Keputusan PAS mengetepikan Khairuddin – yang merupakan salah seorang pemuka utama PAS sebelum ini – daripada jawatankuasa pusat PAS mengejutkan ramai orang.

Ia berlaku tidak lama selepas dia menganggotai badan berkenaan secara lantikan ekoran kalah dalam pemilihan PAS baru-baru ini.

Perkembangan itu menyusul selepas dia digugurkan daripada jawatan menteri apabila Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Kelmarin Khairuddin membuat kenyataan pertama selepas pemecatannya dengan menegaskan bahawa “wajib” untuk mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

Takiyuddin berkata tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang membuat kenyataan bahawa pemecatan Khairuddin berpunca daripada isu MN dan PN.

Katanya PAS serius dengan pendirian tersebut.

Kata Takiyuddin isu perbezaan pandangan dalam PAS adalah perkara biasa termasuk mengenai sikap parti terhadap MN dan PN.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu menambah, perbezaan berkenaan sentiasa diraikan dalam PAS, justeru tidak menjadi sebab untuk parti mengetepikan Khairuddin.

Takiyuddin berkata, Khairuddin dipecat atas sebab yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

“Ini purely (kerana) masalah pentadbiran dan pengurusan parti,” katanya.