Tidak pernah didokumentasi, saintis sahkan temui anakonda sepanjang 6.3 meter

Stesen penyiaran CNN melaporkan bahawa sebuah kumpulan saintis yang menjalankan penyelidikan di hutan hujan Amazon telah menemui spesies ular baru yang dikatakan sebagai yang terbesar di dunia.

Pasukan penyelidik dari Universiti Queensland melakukan ekspedisi ke hutan hujan Amazon di sebelah Ecuador dengan tujuan untuk mencari ular anakonda hijau yang sebelum ini tidak pernah didokumentasikan.

“Pasukan kami menyertai beberapa pemburu dalam satu ekspedisi selama 10 hari di Bameno, Wilayah Baihuaeri Waorani, sebelum mendayung menyusuri sungai untuk mencari anakonda hijau.

“Saiz haiwan ini adalah luar biasa. Seekor anakonda betina yang kami temui berukuran 6.3 meter panjang,” kata ahli biologi, Profesor Bryan Fry yang mengetuai pasukan itu.

Pasukan yang sama turut mendengar desas-desus mengenai kehadiran seekor ular anakonda sepanjang 7.5 meter dengan berat 500 kilogram yang dilaporkan dilihat di kawasan tersebut.

Menurut Muzium Sejarah Semula Jadi Britain, anakonda hijau adalah ular paling berat di dunia. Mereka turut mendakwa bahawa anakonda hijau terberat yang pernah direkodkan memiliki berat sebanyak 227 kilogram.

Pakar-pakar mendapati bahawa genetik spesies anaconda hijau utara yang baru dikenal pasti itu telah berbeza daripada anaconda hijau selatan hampir 10 juta tahun yang lalu, dengan perbezaan sebanyak 5.5 peratus.

Baca juga: “Sebelum kahwin janji nak belikan kereta, ini sampai TV pun langsung takde kat rumah daif betul hidup suami”