Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata dia telah menghantar sepucuk lagi surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung sokongan yang dimilikinya.
Ketika ditanya jika dia masih yakin mampu mendapat sokongan Umno untuk menjadi perdana menteri, Anwar berkata kini segala-galanya terpulang pada budi bicara Agong.
“Ini proses terus. Saya sudah hantar warkah kepada Yang di-Pertuan Agong. Agong baru habis kuarantin.
“Itu budi bicara Yang di-Pertuang Agong. Jadi saya tak mahu komen lebih daripada itu,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Diskusi Santai Presiden PKR di Hotel Tamu Kuala Lumpur, hari ini.
Sultan Abdullah menjalani kuarantin pada 26 Dis setelah pulang dari lawatan ke Abu Dhabi.
Berdasarkan laporan Bernama, Agong, kuarantin itu dijadual berakhir semalam, iaitu setelah tujuh hari.
Sumber yang rapat dengan kepemimpinan PKR yang dihubungi Malaysiakini, memberitahu yang Anwar dipercayai menghantar surat tersebut kepada Agong pada bulan lalu, ketika penghujung sidang Dewan Rakyat.
Dewan Rakyat ditangguhkan pada 17 Dis.
Minggu sebelumnya, terdapat khabar angin bahawa Anwar mendapat 113 akuan bersumpah (SD) ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, beberapa pemimpn Umno yang dikatakan menandatangani SD itu menafikan dakwaan berkenaan manakala PKR menafikan laporan berkenaan perkara itu.
sumber: https://www.malaysiakini.com/news/557449