Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Azalina Othman Said, “bingung” kenapa kerajaan tidak dapat atau enggan mudahkan sidang Parlimen semasa darurat, seperti mana dilakukan di negara lain.
Antara langkah yang boleh diambil, katanya, seperti mengurangkan bilangan Ahli Parlimen yang menghadiri persidangan, menetapkan tempoh persidangan yang fleksibel, dan menyiarkan prosiding Dewan.
“Kerajaan memilih untuk menggantung sidang Parlimen sama sekali, daripada mencari cara supaya prosiding Parlimen boleh dilakukan,” katanya dalam surat kepada Peguam Negara Idrus Harun.
Tidak cukup dengan itu, katanya, Jabatan Peguam Negara menasihati kerajaan supaya menghentikan semua kegiatan jawatankuasa Parlimen walaupun secara maya.