Timb. Speaker dewan rakyat diwujudkan khas untuk wakil pembangkang,kata menteri

Timb. Speaker dewan rakyat diwujudkan khas untuk wakil pembangkang,kata menteri

Kerajaan menangguhkan sementara pemilihan timbalan speaker kedua Dewan Rakyat sehingga sidang yang akan datang.

Menteri Undang-undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata langkah itu dibuat agar kerajaan dapat meminda perlembagaan untuk membolehkan jawatan timbalan speaker yang ketiga diwujudkan.

Katanya jawatan tersebut akan dikhaskan untuk wakil pembangkang.

Dengan pengumuman dibuat Wan Junaidi itu, sidang kali ini akan dikendalikan oleh Azhar Harun selaku speaker, dan dibantu Ahli Parlimen Batu Pahat Mohd Rashid Hasnon selaku timbalan.

Sidang parlimen berikutnya dijangka diadakan pada hujung Okt ini, antara lain bagi membentangkan Belanjawan 2022.

Berucap di Dewan Rakyat petang ini Wan Junaidi berkata butiran yang akan dipinda itu membabitkan Perkara 57(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan kedudukan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Walaupun dalam perlembagaan tidak ditetapkan siapa yang akan dilantik ke jawatan itu, kata ahli parlimen Santubong itu, ada penambahbaikan yang boleh dibuat.

“Kita mungkin akan buat peraturan misalnya salah seorang daripada speaker itu disandangkan wakil pembangkang,” katanya.

Untuk rekod sebelum ini satu lagi jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat disandang oleh Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othmad Said.

Bagaimanapun bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu melepaskan jawatannya menjelang detik Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin diketepikan daripada jawatan perdana menteri.

Dengan kekosongan itu blok pembangkang menamakan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming sebagai calon menggantikan Azalina. Untuk rekod Nga sebelum ini pernah menduduki jawatan timbalan speaker ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan pusat.

Blok kerajaan pula menamakan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan sebagai calon. Ahmad merupakan setiausaha agung Umno.

Terdahulu sejurus sebelum Wan Junaidi membuat pengumuman tersebut, dia mengadakan pertemuan dengan Ahmad dan Nga di parlimen. Pertemuan tersebut kemudian dikongsikan Ahmad di media sosia.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/591302

COMMENTS