Tinggalkan dunia lakonan untuk sementara waktu, Ayda Jebat mahu fokus kepada anak. Pasti sesiapa sahaja yang baru bergelar ibu mahu sentiasa berada di sisi anak ketika membesar, melihat tumbesaran mereka di depan mata.
Situasi ini tidak berbeza kepada selebriti dan pelakon, Ayda Jebat yang mempunyai anak yang baru sahaja mencecah usia 10 bulan, Ana Nayla.
Mengaku kali terakhir berlakon drama pada 2019, Ayda atau nama sebenar, Nur Suhada Jebat, 30, merindui dunia lakonan, namun, hanya sedia kembali ke set apabila Ana sudah boleh diasuh orang lain lapor BH Online.
“Saya berehat sekejap daripada dunia lakonan. Saya tidak pasti sampai bila, rasanya sampai saya sudah bersedia hendak kembali berlakon.
“Sebenarnya, semuanya kerana anak. Saya mahu bagi masa, mungkin apabila Ana sudah pandai berjalan. Jadi, masa itu, selesa sikit untuk saya tinggalkan dia.
“Jujurnya, banyak juga tawaran yang saya dapat sebab sudah lama tidak berlakon. Rasanya kali terakhir adalah drama bersama Remy Ishak, Bukan Gadis Biasa sebelum pandemik COVID-19.”
Kerjaya sekarang ialah menjadi ibu
Keputusan untuk mengutamakan anak dan keluarga adalah persetujuan bersama Ayda dan suaminya, Nabil Mahir.
Ayda berkata, dia dan suami amat menitik berat soal kesihatan dan keselamatan bagi melindungi bukan sahaja anaknya, malah, kedua-dua keluarga.
“Kami tidak akan bawa anak pergi bekerja. Malah, kami hendak keluar jumpa kawan pun jarang. Rasanya, hanya ada beberapa kawan yang pernah berjumpa Ana walaupun dia sekarang sudah hampir 10 bulan.
“Ramai juga tanya bila hendak jumpa Ana, asyik tengok di Instagram (IG) sahaja. Tetapi kami masih belum bersedia membawa dia jumpa orang ramai.”
Baca Juga: Noh jawab isu masalah rumahtangga dengan Mizz Nina