Tingkatan 1 pun dah ada kena HIV, terkejut peringkat umur ini paling banyak dijangkiti Aids

Seawal usia 13 tahun iaitu Ketika masih Tingkatan 1, sudah ada remaja dijangkiti HIV akibat melakukan hubungan homoseksual.

Rupanya jangkitan HIV dan Aids sudah banyak direkodkan dalam peringkat umur antara 20 hingga 29 tahun.

Golongan usia terbabit menunjukkan peningkatan 74 peratus dalam jangkitan HIV/Aids.

Bukan berpunca daripada penyalahgunaan dadah dan perkongsian jarum suntikan, tetapi melalui hubungan seks bebas dan sesama jenis atau homoseksual.

Lapor Harian Metro, seorang penuntut di institusi pengajian tinggi di Selangor berkata, dia disahkan menghidap HIV pada Januari 2020 iaitu ketika berumur 20 tahun.

Menurut Harris (bukan nama sebenar), 23, dia mula melakukan aktiviti seks sesama jenis ketika berada di tingkatan empat.

“Ketika di sekolah menengah, saya terbabit dengan hubungan terlarang ini malah tidak memiliki pendedahan berkaitan isu ini.

“Sejak terjerumus dalam aktiviti songsang ini, saya tidak terkejut apabila disahkan menghidap HIV.

“Ketika saya disahkan positif, doktor hendak tahu dari mana sumbernya dan saya senarai pendek tiga individu.

“Dua daripadanya datang buat pemeriksaan dan mereka negatif. Seorang lagi gagal dihubungi,” ujarnya.

Awal daripada penyakit itu dikesan, kata anak kelima daripada enam beradik berkenaan, dia mengalami masalah kulit dan terdapat ketumbuhan ketuat di bahagian sulit pada 2019.

“Ketika mula disahkan positif, saya sudah menghidap Aids. Saya ambil ubat serta pada masa sama, dapatkan rawatan.

“Ketika ini, tahap kesihatan saya bertambah baik malah Aids juga disahkan sudah tiada, namun HIV masih wujud,” katanya.

Harris berkata, penyakit dihidapi itu diketahui oleh keluarga selepas laporan kesihatan dibaca oleh abang sulungnya.

“Selama ini, keluarga hanya tahu saya ada janji temu rawatan kulit. Tetapi, untuk HIV juga.

“Saya memang rahsiakan perkara itu. Apabila abang tahu, dia maklumkan akan bantu dan adik-beradik lain juga dimaklumkan perkara sama.

“Akhirnya, mak dan ayah juga dimaklumkan berkaitan perkara ini.

“Walaupun mereka sedih, namun Alhamdulillah, mereka tetap layan saya seperti biasa malah akan menemani saya sepanjang rawatan,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Rosak pekat dah ‘Type W’, yang pakai baju Malaysia Madani pun kena terbalikkan tapi dia boleh pula