Tip tidur siang yang berkualiti, rupanya tokoh Amerika Syarikat pun ramai amal lelap sekejap

Tidur siang berkualiti yang memang dituntut dalam Islam rupanya turut diamalkan beberapa tokoh Amerika Syarikat (AS).

Antaranya, seperti John F Kennedy, Ronald Reagan, Albert Einstein, Thomas Edison dan George W Bush selain Napoleon.

National Sleep Foundation AS menyarankan tidur bagi tempoh singkat pada waktu siang kerana ia membantu mempertingkatkan mood baik, fokus dan prestasi harian individu berkenaan.

Saranan organisasi itu sebenarnya mengabsahkan galakan yang telah lebih awal ditekankan dalam Islam iaitu qailulah yang bermaksud tidur pada pertengahan siang.

Qailulah adalah berehat atau tidur sebentar sebelum gelincir matahari iaitu sebelum masuknya waktu Zohor.

Tabiat lelapkan mata seketika iaitu sekitar 15 minit hingga ke 30 minit boleh mengembalikan kecergasan jasmani dan mental sebelum menyambung semula rutin harian.

Malah, pernah dilapor sebuah Sekolah di Hebei, China menyediakan meja dan kerusi yang boleh laras untuk menjadi tempat tidur.

Di India pula, sebuah syarikat mengambil inisiatif membolehkan pekerjanya tidur sebentar di antara pukul 2 hingga 2.30 petang.

Syarikat Wakefit itu membolehkan pekerja mereka menikmati tidur siang setiap hari selama setengah jam.

Amalan tidur seketika pada waktu siang boleh memberi manfaat kepada kualiti hidup pengamalnya.

Dalam kajian dijalankan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) terhadap juruterbang tentera yang mengantuk dan angkasawan, mendapati bahawa tidur selama 40 minit mempertingkatkan prestasi sebanyak 34 peratus selain daya fokus sehingga 100 peratus.

Beberapa tip dapat tidur siang yang berkualiti:

  • Tidur singkat biasa­nya disyorkan 20 hingga 30 minit. Tidur dalam tempoh ini tidak mengganggu tidur malam anda.
  • Pastikan tempat tidur selesa dan menenangkan selain tidak terlalu terang.
  • Pastikan tempoh anda tidur itu tidak terlalu awal ataupun terlalu lewat kerana dikhuatiri menjejaskan kualiti tidur yang sihat.

Amalan tidur singkat boleh dibezakan kepada tiga jenis iaitu:

1. Tidur Singkat Terancang

– Menutup mata sebelum rasa mengantuk.

– Teknik ini biasanya diguna apabila individu berkenaan perlu bangun lebih awal daripada kebiasaan dan biasa­nya untuk elak rasa letih pada tempoh berikutnya.

2. Tidur Singkat Kecemasan

– Biasanya terjadi apabila individu tiba-tiba rasa keletihan keterlaluan dan tidak dapat meneruskan aktiviti yang sedang dilakukan ketika itu.

– Sering dilakukan pemandu dalam perjalanan jauh atau mereka yang bekerja dalam syif atau industri berat termasuklah ketika mengendalikan mesin berbahaya.

3. Tabiat Tidur Singkat

– ­Lazimnya individu yang kerap lelap pada waktu sama setiap hari.

– Contohnya, kanak-kanak yang masih kecil tidur pada waktu tengah hari atau golongan dewasa yang lelap seketika selepas menikmati makan tengah hari.

BACA JUGA Jumpa ’emas terapung’ bernilai RM1.3 juta, nelayan jadi jutawan sekelip mata