Kecoh satu Malaysia apabila Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah menyindir pasukan Selangor FC selepas skuad Gergasi Merah itu memenangi Piala Sultan Selangor pada Sabtu.
Kata pemilik JDT itu kemenangan tersebut umpama syok sendiri selain menyifatkan piala tersebut tidak diiktiraf di negara ini.
“Di Malaysia trofi yang diiktiraf Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih saingan AFC. Untuk layak ke kejohanan antarabangsa pula iaitu Liga Super dan Piala FA.
“Kalau buat piala syok sendiri dan raikan macam menang piala rasmi, saya akan buat Piala Daddy, dan Piala Cap Susu mulai tahun depan.
“Pasukan lawan kena cari yang lemah lemah. Yang pelik tak ada perasaan malu. Kes kronik syok sendiri, ” tulis baginda di laman Facebook miliknya.
Namun ramai tak tahu sebenarnya sejarah Piala Sultan Selangor ini bermula bila.
Piala Sultan Selangor mula diperkenalkan pada tahun 2001 dengan tujuan untuk menguatkan ikatan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia suatu ketika dulu iaitu Selangor FA dan Singapura FA.
Singapura sebelum itu menyertai Liga Malaysia sebelum menarik diri pada tahun 1994. Jadi, Piala Sultan Selangor menjadi satu acara untuk meraikan perseteruan kedua-dua pasukan ini.
Jika mahu diimbas kembali, perseteruan Selangor dan Singapura dalam kancah bola sepak Malaysia sungguh menakjubkan kerana kedua-dua pasukan ini paling berjaya dalam sejarah Liga Malaysia pada zaman tersebut.
Malah, media-media juga menggelar perlawanan antara Selangor dan Singapura dahulu sebagai Malayan El-Clasico.
Nama piala ini pada mulanya ialah Piala Pemangku Sultan Selangor sebelum ditukar pada 2003 kepada nama sekarang, Piala Sultan Selangor.
Sepanjang kejohanan ini dianjurkan sejak 2001, Selangor telah memenangi 11 kali manakala selebihnya dimenangi oleh pasukan Singapura.s
Sejak 2001, kejohanan ini hanya dianjurkan di Stadium Shah Alam dan Stadium Jalan Besar, Singapura sahaja.
Pada tahun ini, Piala Sultan Selangor melakar sejarah baharu apabila ia dianjurkan di Stadium Merdeka iaitu stadium keramat yang menjadi saksi Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.
Pasukan Pilihan Selangor menentang Pasukan Pilihan Singapura yang menyaksikan Pilihan Selangor menjulang kejuaraan ke-11 dalam sejarah penganjuran Piala Sultan Selangor.
Pada Sabtu lalu, Pilihan Selangor berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka.
Baca: Doktor bidas teori minum air kosong boleh ‘cuci’ air manis dalam badan, rupanya ramai percaya