Sentimen rakyat yang dilihat memihak kepada Barisan Nasional (BN) dianggap masa yang sesuai untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dipertimbang untuk diadakan dalam masa terdekat.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah menyuarakan hal tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam sebaik sahaja BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
“Saya cakap dengan Perdana Menteri semalam, kita perlu pertimbangkan untuk segerakan pilihan raya umum.
“Suka atau tidak, kita tunggu sampai bulan Julai nanti sebab perjanjian (persefahaman kerajaan dan pembangkang) sampai bulan Julai.
“Ini pun tidak tahulah kerana banyak yang kalah teruk di Melaka, tidak tahulah kalau mereka akan pull the plug (tarik diri), kita tidak tahu.
“Dalam politik apa juga boleh jadi, dinamiknya berubah setiap hari dan tidak statik, terpulang kepada BN dan Umno untuk buat ulang kaji,” dipetik Utusan Online.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Tok Mat berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Kebangsaan Persatuan Solidariti Nasional (Persona) Kali Ke-6 Sesi 2020 di Seremban hari ini.
Beliau berkata, PRU-15 dalam waktu terdekat penting supaya mandat baharu dapat diberikan semula kepada rakyat.
“Bukan saya mahu beri tekanan untuk PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini, tapi kalau okey apa salahnya, jika dibandingkan kita perlu tunggu sehingga 2023.
“Dapatan mandat baharu, orang faham selepas pandemik ini memang susah untuk mentadbir negara, dapatkan mandat baharu semula, dapat majoriti yang baik, kemudian semua kena bersatu padu,” katanya.
Timbalan Pengerusi BN itu bagaimanapun berkata, sama ada perlu untuk PRU-15 diadakan dalam waktu terdekat mahupun perlu menanti sehingga habis penggal ia perlu difikirkan secara mendalam.
“Jika ditanya kepada saya, saya mahu ia (PRU-15) diadakan esok. Kalau kita mahu ikutkan the feel good factor ada di situ ini, masih lagi segar dengan kemenangan dan mandat yang diberi oleh rakyat Melaka.
“Jika kita tunggu (sehingga habis penggal) apa pula, masa kadangkala sangat penting, kadangkala kalau waktu tidak tepat susah juga.
“Semasa PRU-14, kita tunggu sampai habis penggal dan kalah, kita kita buat sebaik sahaja Sukan SEA, waktu itu sentimen sangat baik, orang sokong kerajaan,” kata Tok Mat lagi.
sumber : https://malaysiadateline.com/apa-salahnya-pru-15-sebelum-akhir-tahun-ini-kata-tok-mat/