Tokey ayam bongkar rahsia kenapa ayam tiada dan mahal

  • Post author:
  • Post comments:0 Comments

Oleh YANI HARDINATA HAIRUDDIN

Pengalaman saya dalam industri ayam taklah banyak. Adalah dalam 10 tahun dalam penternakan, proses, dan perniagaan ayam.

Harini saya nak kongsi kisah sebenar, lengkap, kenapa sejak akhir-akhir ini, ayam tiada di pasar, KFC tiada ayam goreng dan ayam naik harga.

Pada suatu masa dahulu, harga ayam naik turun. Harga bergantung apa? Bergantung kos.

Kos naik, harga naik, kos turun, harga turun.

Semua pengilang dedak, penternak, peniaga ayam, hidup dengan aman damai.

Kemudian, pada tahun lepas, harga bahan mentah import meningkat mendadak. Kerana kelemahan ringgit, kenaikan kos penghantaran antarabangsa, dan faktor bekalan

Jadinya…

Harga jagung meningkat (meningkat lebih 100% 2021)

Harga kacang soya meningkat (meningkat lebih 30% 2021)

Harga gandum meningkat

Semua ini, bahan-bahan yang menjadi kandungan utama dedak (lebih 80%). Dan bahan-bahan ini, diimport.

Sebelum anda tanya, kenapa makanan ayam diimport, ini ceritanya.

Ayam daging ni, dedak-dedaknya dihasilkan dengan tepat supaya ayam cukup nutrien, boleh membesar dengan maksima dan efisien dalam tempoh ditetapkan.

Dan yang paling penting, dedak mestilah makanan yang ayam suka makan.

Baka-baka ayam ini kebanyakannya baka-baka import, seperti COBB, ROSS, Indian River.

Mereka bukan makan jagung manis Cameron Highland. Mereka makan jagung bijirin yang tidak ditanam secara meluas di Malaysia.

Bahan-bahan ni, kita bukan import sikit-sikit. Setahun, lebih 3.9 juta metrik tan jagung bijirin, lebih 1.4 juta metrik tan soya diimport.

Boleh kita hasilkan sebanyak tu? Boleh.

Memang boleh.

Jadi bila bahan-bahan mentah ini naik harga, harga dedak meningkat.

Dari RM80/50kg kepada RM120/50kg (meningkat lebih 50%)

Bila meningkat, kos ternakan meningkat. Dan macam biasa, logiknya, harga ayam meningkat.

Dan itulah yang berlaku, sehingga 4 Disember 2021, harga kawalan ditetapkan pada RM9.30, tanpa kawalan harga/subsidi kepada dedak.

Sebenarnya, pengilang dedak, penternak dah lama menyerap kenaikan harga, supaya harga kepada pengguna tidak terlalu membebankan.

Bila harga kawalan ditetapkan, kami bukan kurang untung, kami rugi.

Jadi kami penternak kurangkan kemasukan ayam di ladang supaya kerugian dapat dikurangkan, sementara kami nampak titik keluar.

Jadi sebab itulah ayam kurang. Tiada konspirasi, tiada agenda, hanya penternak nak meneruskan kelangsungan hidup.

Kemudian, harga kawalan makin turun

RM9.10,

kemudian RM8.90

ada pula buat RM8…

Penternak makin tersepit, dan ada yang dah gulung tikar.

Bukan anak ayam tiada atau bermasalah. Tapi, siapa yang nak ternak ayam bila rugi?

Selepas penternak, ramai peniaga dan pekerja dalam industri ini akan juga kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Kami harap titik tengah dapat dicapai.

Supaya industri ini dapat kekal, dan dalam masa yang sama pengguna dapat membeli makanan asas dalam harga mampu milik

———
Penulis adalah Tokey Ayam Wak Akob. Tulisan ini dibuat menerusi facebook beliau.