Mahkamah semalam telah memberi kemenangan kepada pelokon Syakila Saiful terhadap saman mentuanya yang juga tokoh ASWAJA, Engku Fadzil. Berikut merupakan fakta kes yang dijelaskan sendiri oleh peguam Syakila Tuan FAizal Rahman.
1. Rentetan 2 keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam (30.9.2024), banyak maklum balas/komen yg saya terima meminta saya menghuraikan dengan lebih ringkas tentang 2 kes berkenaan.
2. Tidak kurang juga yg mendakwa kononnya saya menyebarkan “aib peribadi” seorang tokoh favourite mereka.
3. Jadi setelah mengambil kira faktor itu saya membuat ringkasan utk kedua-dua kes berkenaan seperti berikut:
3.1 Kes saman 1: Engku Fadzil yg telah memulakan saman terhadap Shakila Saiful di Mahkamah Tinggi Shah Alam di bawah kausa FITNAH;
3.2 Shakila pada ketika itu masih lagi Isteri kepada anak Engku Fadzil iaitu Engku Fakhruddin;
3.3 Saman Engku Fadzil antara lain mengatakan Shakila telah memfitnah Engku Fadzil di media sosial tentang pengguguran kandungannya. Engku Fadzil mengatakan Shakila mempunyai niat jahat untuk menjatuhkan reputasinya;
3.4 Kes saman 2: Ini adalah saman balas Shakila terhadap Engku Fadzil & Engku Fakhruddin (yang ketika itu masih suaminya); dan
3.5 Saman balas Shakila itu adalah berkenaan kausa penipuan/salahnyataan. Shakila mendakwa Engku Fadzil melalui Engku Fakhruddin telah membuat representasi salah dan/atau penipuan apabila meyakinkan Shakila untuk menggugurkan kandungannya dengan mengatakan Fatwa Negeri Perlis dan Pahang membenarkan perbuatan menggugurkan kandungan tersebut.
4. KEPUTUSAN MAHKAMAH:
4.1 Kes saman 1: Engku Fadzil GAGAL membuktikan kes dan perlu membayar kos sebanyak 25k kepada Shakila.
4.2 Kes Saman 2: Shakila berjaya membuktikan kes terhadap Engku Fadzil dan Engku Fakhruddin. Kedua-dua mereka perlu membayar gantirugi sebanyak 80k kepada Shakila.
5. Fakta-Fakta penting kes ini:
5.1 Kandungan shakila adalah hasil hubungannya dengan Engku Fakhruddin sebelum bernikah. Kandungan itu adalah kembar.
5.2 Shakila mengatakan bahawa beliau enggan menggugurkan kandungan itu tetapi di “yakinkan” oleh Engku Fakhruddin setelah mendapat “nasihat” daripada Engku Fadzil untuk menggugurkannya.
5.3 Shakila direpresentasikan bahawa terdapatnya Fatwa Negeri Perlis dan Pahang yg membenarkan melakukan pengguguran kandungan.
5.4 Shakila membuat pendedahan di media sosial setelah beliau merasakan beliau telah di “block” daripada sebarang bentuk komunikasi & tidak di endahkan oleh Engku Fadzil & Engku Fakhruddin.
5.5 Shakila diceraikan lebih kurang 6 bulan selepas bernikah, selepas mengalami keguguran kandungan kedua (kandungan selepas nikah).
5.6 Shakila mengatakan bahawa beliau menerima dokumen perceraian ketika beliau mengalami pendarahan teruk & kehilangan banyak darah. Kesannya shakila menghadapi depression melampau sehingga terpaksa di rujuk ke unit psikiatri.
5.7 Shakila merasa dirinya tertipu setelah beliau diceraikan hanya selepas 6 bulan bernikah, dalam keadaan beliau dibiarkan keseorangan ketika mengalami keguguran kandungan kedua.
5.8 Secara total Shakila kehilangan 3 janin dalam tempoh lebih kurang 1 tahun.
5.9 Shakila di dalam keterangan beliau di mahkamah mengatakan bahawa cerita beliau di media sosial adalah cerita yg benar, berasaskan kisah sebenar yg berlaku terhadap dirinya, beliau lalui sendiri & bukannya fitnah kepada Engku Fadzil atau Engku Fakhruddin.
5.10 Shakila juga mengatakan bahawa beliau ingin menuntut keadilan setelah beliau mendapati bahawa sebenarnya Islam tidak membenarkan menggugurkan kandungan & Fatwa Negeri Perlis dan Pahang yg di sampaikan kepada beliau oleh Engku Fakhruddin adalah sebenarnya PALSU.
6. Intipati penting kes ini :
6.1 Membersihkan Perlis daripada tuduhan/tomahan kononnya Fatwa Negeri Perlis membolehkan/membenarkan menggugurkan kandungan anak luar nikah.
6.2 Jumhur ulama termasuk Imam Syafie memutuskan menggugurkan kandungan (tanpa alasan dibenarkan) adalah HARAM.
6.3 Berdasarkan keterangan saksi Pakar, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis iaitu Prof Dr.Rozaimi menyatakan antara lain bahawa Fatwa Negeri Perlis adalah berkenaan menggugurkan janin yg cacat oleh pasangan yg SUDAH berkahwin. Tidak ada Fatwa Perlis membenarkan menggugurkan kandungan luar nikah.
6.4 Fatwa Negeri Perlis itu adalah selari dengan pandangan Jumhur Ulama & termasuklah di bawah mazhab syafie.
6.5 Perbuatan meyakinkan Shakila tentang Fatwa yg tidak wujud adalah suatu penipuan.
6.6 Tindakan Shakila yg mencari keadilan dengan mendedahkan kejadian sebenar BUKANLAH 1 perbuatan mendedahkan aib peribadi. Malah perbuatan yg menyalahgunakan Fatwa atau mereka-reka FATWA yg tidak wujud itulah sebenarnya 1 perbuatan yg mesti di tegah.
6.7 Kes ini melibatkan kepentingan awam khususnya berkenaan kesedaran masyarakat berkenaan sesuatu FATWA di sesebuah negeri. Oleh itu tidak timbul mendedahkan “aib peribadi” mana-mana individu atau mana-mana pokok.