Pelakon Uqasha Senrose, yang kini mengandung anak sulung membuat keputusan untuk tidak mengikuti trend ‘gender reveal’ ala barat dalam mengumumkan jantina anaknya.
Sebaliknya, Uqasha lebih memilih untuk mengekalkan nilai budaya Melayu dengan mengadakan sebuah majlis doa selamat sebagai pengumuman gembira.
Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 32 tahun serta suaminya mengakui lebih berhati-hati dan mahu merahsiakan jantina bayi.
“Sebab pernah keguguran sebelum ini saya memang sangat berhati-hati. Jadi, saya dan Kamal sepakat untuk tidak mahu mengetahui jantina bayi.
“Kami akan umumkan jantina bayi dalam sebuah majlis doa selamat nanti. Tidaklah buat majlis ‘gender reveal’ seperti orang Barat sebaliknya lebih kepada tradisional kita,” kongsi Uqasha.
Bintang drama “Rindu Awak Separuh Nyawa” itu turut mendedahkan bahawa belum melakukan sebarang persiapan untuk kedatangan bayi, kerana masih tidak mengetahui jantina anak dalam kandungannya.
“Belum beli barang-barang bayi lagi, saya tidak tahu hendak mula dari mana. Tunggulah selepas majlis doa selamat dan selepas tahu jantina bayi barulah saya buat persiapan,” kata Uqasha.
Walaupun masih sarat mengandung, Uqasha turut mengakui perlu berdikari sepanjang masa kerana suaminya masih bekerja di luar daerah.
“Sejak saya hamil saya lihat Kamal memang bekerja lebih keras, jika dahulu dia memilih juga kerja, tetapi sekarang mana rezeki yang datang dia akan cuba buat.
“Dia mahu memastikan keperluan saya dan anak cukup. Oleh itu, sekarang saya banyak ditinggalkan Kamal sebab dia menjalani penggambaran di luar daerah. Tetapi setiap hari dia akan hubungi saya untuk pantau keadaan saya dan anak dalam kandungan.
“Saya juga masih sibuk bekerja dan sekarang sedang menjalani penggambaran drama Jangan Lupa Janji,” tutur Uqasha yang ditemui pada majlis resepsi perkahwinan penyanyi Amylea Azizan baru-baru ini.