Tolak UMNO, Bersatu perkukuh hubungan dengan PAS -Hamzah

Bersatu akan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui Perikatan Nasional susulan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak.

Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya, Muhyiddin Yassin hari ini.

“Dalam mesyuarat tersebut, MPT sekali lagi menzahirkan rasa kesal terhadap Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak yang diusulkan oleh Umno tetapi tidak disokong oleh Umno dan Pakatan Harapan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.

“Berikutan itu, MPT sebulat suara bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama antara Bersatu dan PAS melalui Perikatan Nasional dalam usaha mengekalkan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri.

“Semua keputusan yang bakal diambil Bersatu berkaitan penubuhan Kerajaan negeri Perak yang baru akan mengambil kira ketetapan bersama rakan-rakan Perikatan Nasional terutama PAS yang terlibat secara langsung,” katanya.

Pada 4 Dis lalu, Ahmad Faizal gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat negeri itu dalam undian percaya yang diusulkan oleh Adun Pengkalan Baru dari Umno, Abdul Manaf Hashim.

Sebanyak 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya, manakala satu undi rosak atau berkecuali.

PAS sebelum ini melalui setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan berkata parti itu tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan baru di Perak.

Untuk rekod, Bersatu merupakan parti serpihan Umno yang diasaskan oleh Dr Mahathir Mohamad dalam usaha menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak pada pilihan raya umum lalu.

Bersama-sama PKR, DAP dan Amanah, parti itu memenangi PRU dan membentuk kerajaan Pakatan Harapan (PH), dengan Dr Mahathir dipilih sekali lagi sebagai perdana menteri.

Selepas tewas, Umno memeterai kerjasama dengan PAS dan membentuk sebuah gagasan dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Namun kerajaan PH tidak bertahan lama apabila Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar dari gabungan tersebut, manakala Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas tidak bersetuju dengan langkah berkenaan.

Muhyiddin kemudian dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong dan menubuhkan kerajaan baru yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN).

PN merupakan ikatan longgar diterajui Bersatu yang mentadbir kerajaan persekutuan bersama-sama Umno-BN, PAS dan dengan sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bagaimanapun, hubungan dalam parti-parti PN dilihat rumit – terutama antara Umno dan Bersatu – dengan yang terbaru menyaksikan penyingkiran Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Umno malam ini turut mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan situasi politik dan pembentukan kerajaan baru di Perak.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Zahidi Zainul Abidin mengesahkan pimpinan tertinggi parti itu sebulat suara mencalonkan Adun Kota Tampan, Saarani Mohammad sebagai menteri besar Perak yang baru.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554258