“Tommy Thomas salah tafsir perlembagaan”, kata peguam

Seorang peguam dari Majlis Peguam Selangor menepis dakwaan bekas peguam negara, Tommy Thomas, yang peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri tahun lalu tidak bermakna kerajaan akan tumbang secara automatik.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, adalah jelas ketika itu Mahathir kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat selepas Ahli Parlimen PPBM dan sebahagian dari PKR, khususnya blok Azmin Ali, meninggalkan Pakatan Harapan.

“Maka, dari segi keperlembagaannya, Mahathir tidak lagi boleh memegang jawatan perdana menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan, di mana beliau mesti meletak jawatan, melainkan atas permintaan Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Thomas dalam memoirnya bertajuk “My Story: Justice in the Wildernesss” menerusi muka surat 472 antara lain menyatakan hanya Mahathir meletak jawatan dan ia tidak bermakna peletakan jawatan Jemaah Menteri.

Rafique berkata, Mahathir ketika itu hanya mendapat sokongan kira-kira 60 Ahli Parlimen, hasil temuduga Agong dengan 222 Ahli Parlimen, oleh itu sudah terang lagi bersuluh yang beliau tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Dari segi keperlembagaan, apabila seseorang perdana menteri telah meletak jawatan, maka seluruh Jemaah Menteri akan turut terbubar. Sama ada peletakan jawatan tersebut dilakukan atas kehendak dan kerelaan sendiri atau sebaliknya, ianya tidak relevan kepada kedudukan Jemaah Menteri.

“Jika sekalipun seseorang perdana menteri meletak jawatan dalam keadaan beliau masih memiliki sokongan majoriti seperti yang berlaku ketika Mahathir meletak jawatan pada 2003, ianya juga tidak relevan kepada kedudukan Jemaah Menteri.

“Kenyataan Tommy seperti pada muka surat 472 adalah satu kekhilafan pentafsiran keperlembagaan, di mana ia adalah bercanggah peruntukan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan.”

fmt

COMMENTS