Tony Pua sahkan rundingan rasmi dengan Ismail Sabri sedang berlangsung

Pakatan Harapan (PH) bersedia menerima perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri baru, Ismail Sabri Yaakob dengan syarat dia membuat tawaran serupa seperti yang dilakukan pendahulunya, Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada forum dalam talian malam tadi, Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua mengesahkan rundingan sedang berlangsung antara blok pembangkang dengan Ismail, yang dilantik sebagai perdana menteri minggu yang lalu.

“Sekiranya dia (Ismail) dapat melakukan itu, dan ini sedang dirundingkan sekarang, jika dia dapat menawarkan apa sahaja yang telah ditawarkan Muhyiddin (janji menggubal) undang-undang antilompat parti, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri, dan reformasi parlimen, maka kami bersedia menawarkan gencatan politik untuk memberikan kestabilan bagi kerajaan.

“(Gencatan politik) untuk melakukan reformasi ini sebelum pilihan raya umum berikutnya.

“Inilah sesuatu yang sedang kami usahakan dan kami cukup optimis untuk mencapai keputusan positif daripada perbincangan ini,” kata Pua.

Ahli parlimen DAP itu bercakap dalam forum yang dianjurkan oleh Oxford and Cambridge Society Malaysia, yang disiarkan secara langsung di Youtube.

Dia merujuk tawaran yang dibuat Muhyiddin pada 13 Ogos lalu, yang antara lain berjanji akan melaksanakan pembaharuan yang dituntut oleh pembangkang, bagi memastikan undi percaya terhadapnya diluluskan.

Ia dilihat sebagai usaha terakhir Muhyiddin untuk menyelamatkan kedudukannya setelah 14 ahli parlimen Umno menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menarik balik sokongan terhadapnya.

Ismail mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Jumaat lalu setelah mendapat sokongan majoriti tipis daripada 114 anggota parlimen.

Bagaimanapun dia akan berdepan undi percaya ketika parlimen bersidang semula pada 6 September ini.

Dengan hanya majoriti empat kerusi daripada jumlah keseluruhan 220 ahli parlimen, naib presiden Umno itu berisiko ditumbangkan semasa proses pengundian.

Ini disebab Ismail berdepan kemelut politik dalaman, terutama dengan ahli parlimen Umno yang memanikan peranan utama dalam menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Pada Rabu lalu, Ismail dilapor mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pakatan Harapan (PH) termasuk ketua pembangkang Anwar Ibrahim, sebelum mengeluarkan kenyataan bersama yang mengatakan mereka bersetuju untuk memperkasakan institusi parlimen.

Anwar juga memberitahu wartawan bahawa gabungan pembangkang tidak akan “mempersulit” undi percaya terhadap Ismail jika dia bertindak demi kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak menyatakan butiran terpeinci mengenai perjanjian yang telah mereka usahakan.

Peluang terbuka kerana kemelut dalam Umno

Menjawab pertanyaan daripada moderator, Pua mengaitkan peluang untuk berdialog dengan Ismail akibat kemelut dalam Umno.

Menurutnya, ini kerana Ismail berdepan ancaman dari dalam yang menyebabkan dia bersedia berunding dengan pembangkang.

“Anda betul, Ismail hanya salah seorang naib presiden dalam Umno. Oleh itu, dia lemah.

“Justeru kerana dia lemah, ada ruang untuk kita merundingkan syarat-syarat yang akan mencapai faedah bagi masyarakat di luar sana. Ini sebenarnya akan mewujudkan demokrasi yang lebih baik untuk Malaysia.

“Sekiranya dia kuat dan menguasai Umno sepenuhnya, menguasai sepenuhnya rakyat dan gabungannya, dia tidak akan memerlukan sokongan kita,” katanya.

Pua berkata, kabinet baru yang diumumkan Ismail semalam menunjukkan sebahagian besar anggota parlimen Umno yang menarik sokongan kepada kerajaan PN, tercicir daripada senarai.

Dia mendakwa hal ini menunjukkan Ismail mengambil sikap menentang kumpulan itu dalam partinya, dan PH berharap ia menjadi sebab bagi Ismail bersetuju dengan agenda reformasi.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/589024