Tragedi Singapore Airlines: Pelajar Malaysia cerita ada penumpang yang melambung

Pada hari semalam, sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) terpaksa melakukan pendaratan cemas di Bangkok selepas mengalami gelora udara melampau ketika berada di ruang udara Myanmar. Menurut laporan Sinar Harian, penerbangan SQ321 dari London ke Singapura itu membawa 16 warga Malaysia.

Dzafran Azmir, seorang penumpang warga Malaysia berusia 28 tahun, berkongsi pengalaman mengerikan yang dialaminya semasa insiden tersebut. Menurutnya, pesawat secara tiba-tiba menjunam menyebabkan mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar tercampak ke bahagian siling pesawat.

“Ada yang terhantuk kepala di kabin bagasi sehingga bahagian itu kemek. Mereka turut tercampak ke ruang-ruang lain, terdapat lampu serta topeng oksigen terkeluar dan pecah,” katanya. Dzafran turut menggambarkan bagaimana telefon bimbit dan barangan lain berselerak akibat gangguan itu.

Kejadian berlaku kira-kira tiga jam sebelum pesawat sepatutnya mendarat di Singapura. Dzafran merasakan pesawat tidak stabil sebelum gegaran melampau berlaku. Tambahnya lagi, kru dan individu yang berada di dalam tandas adalah yang paling terkesan dalam insiden tersebut, mengalami kecederaan serius di kepala dan tulang belakang.

Kapten pesawat memaklumkan penumpang mengenai pendaratan kecemasan di Bangkok. Sebaik sahaja pesawat mendarat, pasukan jururawat dan penyelamat memberikan bantuan kepada mangsa yang cedera.

Menurut kemas kini dari media sosial Singapore Airlines, sebuah penerbangan bantuan membawa 143 penumpang dan anak kapal SQ321 yang mampu melakukan perjalanan telah tiba di Singapura pada pagi ini pukul 5.05 pagi (Waktu Singapura). Manakala 79 lagi penumpang dan enam anak kapal kekal di Bangkok, termasuk mereka yang menerima rawatan perubatan serta ahli keluarga.

Baca: Boleh pula pakar jumpa mikroplastik dalam testis, ini rupanya ancaman terhadap tahap kesuburan