Trauma akibat rumahnya dimasuki perompak, usahawan sensasi Liana Rosli merancang untuk menggunakan khidmat pengawal peribadi dan pemandu sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan dirinya sekeluarga.
Dia turut mengakui tidur malamnya terganggu walaupun semua tahanan telah diberkas polis.
“Sejujurnya saya syukur sangat tetapi pada masa sama masih trauma apabila sampai sekarang sukar melelapkan mata.
“Saya takut kalau pejam mata mereka datang ke rumah walaupun sekarang semua perompak itu sudah ada dalam penjara.
“Kesemua suspek mengaku follow saya dalam media sosial, jadi kalau perlu saya akan dapatkan khidmat bodyguard dan pemandu peribadi ke mana-mana,” katanya ketika ditemui pada majlis buka puasa bersama Starvendors, semalam.
Tidak mahu dihantui traumanya, anak pelakon Normah Damanhuri itu turut ingin berpindah rumah dan lokasi barunya itu akan dirahsiakan.
Liana juga enggan berkongsi tentang perkara peribadi dan akan menapis segala konten di laman sosialnya.
“Saya akan pindah rumah selepas ini. Rumah yang sedia ada saya akan pastikan pintu tingkap semua akan ditutup.
“Ini juga pengajaran kepada saya supaya sekat semua perkara, tak boleh tunjuk sangat. Rumah baharu nanti mungkin hanya kongsikan bahagian dalam sahaja,” ujarnya.
Baca juga: Hafidz Roshdi mintak kecam lagi! Kali ini naikkan nafkah anak jadi RM200- “Ada waktu dia tak bagi”