Tuan Ibrahim selar kerajaan mahu lupus subsidi golongan kaya, “Isu pendidikan adalah tanggungjawab mereka”

Sebelum ini kerajaan memberi banyangan bakal melupuskan subsidi golongan kaya dan ianya akan dibentangkan pada Belanjawan 2025.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu itu menjadi keutamaannya ketika dibentangkan pada 18 Oktober ini.

Namun, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kerajaan perlu lebih kreatif dalam menentukan sistem pendidikan negara kepada golongan kaya mahupun miskin dan memberi contoh sistem waqaf seperti di Universiti Al-Azhar.

“Melalui sistem ini, pelajar miskin dibiayai melalui bantuan pendidikan serta biasiswa atau beberapa pengecualian bayaran yuran pengajian.

“Isu pendidikan tidak sepatutnya dilihat sebagai bebanan kerana ia merupakan tanggungjawab negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Ibrahim turut mendakwa dirinya tidak menyebelahi golongan kaya namun keduanya adalah rakyat yang perlu dibantu oleh kerajaan.

“Isu pemberian dana pendidikan kepada rakyat sama ada kaya dan miskin tidak seharusnya dilihat dari perspektif ekonomi sahaja, sebaliknya juga perlu melihat sumbangan mereka terhadap pendapatan negara dan imbangan sumbangan.

“Umum mengetahui lebih besar pendapatan individu maka lebih besar zakat dan cukai yang dikenakan, seperti peribahasa Melayu ‘besar periuk besarlah kerak’,” katanya.

Baca juga: “Ramai lagi susah dari kita”- Ibu anak 2 bergelut naik motosikal buat netizen luluh hati