TUDM sahkan identiti kedua-dua mangsa nahas pesawat yang terhempas

berita dipetik dari FMT

Identiti dua juruterbang yang terbabit dalam nahas pesawat Hawk 108 di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang, malam tadi, dikenal pasti menurut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menerusi kenyataan, Markas Tentera Udara memaklumkan dua juruterbang berkenaan dikenali sebagai Mohamad Affendi Bustamy, yang meninggal dunia dalam nahas itu, manakala Mohd Fareez Omar mengalami kecederaan dan sedang dirawat.

Fareez berada dalam keadaan stabil dan kini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.

“Kedua-dua juruterbang telah berkahwin dan keluarga telah dimaklumkan mengenai insiden tersebut dan TUDM akan memastikan urusan kebajikan keluarga mangsa diutamakan.

“Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau sebarang berita yang tidak sahih. TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan insiden ini,” menurut kenyataan itu.

TUDM berkata, nahas di Pangkalan Udara Butterworth itu berlaku kira-kira 10.07 malam tadi ketika kedua-dua juruterbang itu sedang menjalani latihan penerbangan malam.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein mengarahkan TUDM menjalankan siasatan terperinci susulan insiden terbabit.

Beliau berkata, insiden itu dimaklumkan kepadanya oleh Panglima TUDM Ackbal Abdul Samad menerusi panggilan telefon.

Hishammuddin berkata, Kementerian Pertahanan telah diarahkan untuk menyalurkan keperluan kepada kedua-dua anggota yang terbabit.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/17/tudm-kenal-pasti-identiti-2-juruterbang-pesawat-hawk/