Tuisyen persendirian ‘lubuk emas’ mahasiswa jana pendapatan ketika Covid-19

Penutupan sesi persekolahan disebabkan Covid-19 secara tidak langsung menyebabkan permintaan terhadap kelas tuisyen persendirian meningkat secara mendadak dan peluang itu dianggap sebagai “lubuk emas” buat mahasiswa menjana pendapatan.

Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan penutupan semula sekolah akibat lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, ibu bapa mahu anak mereka yang bakal menduduki peperiksaan awam tidak “ketinggalan” dalam silibus pembelajaran masing-masing.

Farabi Halim, mahasiswa Sains Gunaan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkongsi pengalamannya berkata hidupnya berubah sekelip mata sejak pelaksanaan PKP apabila beliau menjadi guru persendirian sepenuh masa bagi mengajar subjek matematik tambahan dan fizik buat 15 orang pelajar tingkatan lima di kawasan tempat tinggalnya.

Ia bermula selepas ibu kepada salah seorang pelajarnya memintanya memeriksa soalan kerja rumah yang tidak dapat diselesaikan, berkesudahan dengan diberikan peluang mengajar kelas persendirian sebanyak dua kali seminggu.

“Selepas berita mengenai diri saya tersebar, beberapa ibu bapa pelajar lain turut meminta saya mengajar anak-anak mereka yang juga bakal menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

“Sejak itu, jadual saya penuh untuk mengajar mereka sehingga terpaksa menolak tawaran lain kerana kekangan masa,” katanya kepada MalaysiaNow.

Farabi mengakui berdepan sedikit kesukaran menguruskan masa antara mengajar dan menghadiri kelas dalam talian bersama pensyarah universiti, tetapi dapat diatasi selepas mengadakan perbincangan dengan ibu bapa supaya jadual kelas lebih fleksibel diadakan.

Katanya, sepanjang berurusan dengan ibu bapa, dia mendapati wujud kebimbangan terhadap kelas dalam talian yang dirasakan tidak memberikan kesan terbaik dalam sesi pembelajaran anak-anak, terutama melibatkan fokus dan perkembangan emosi mereka yang terganggu kerana terlalu lama menghadap skrin komputer.

“Ia jauh berbeza ketika mengikuti kelas persendirian, pelajar berkongsi mereka lebih selesa jika kelas dikendalikan secara fizikal dan bersemuka. Ia bukan sahaja membantu mereka memahami silibus dengan lebih mudah, tetapi boleh belajar dalam keadaan yang lebih tenang.”

“Selepas berita mengenai diri saya tersebar, beberapa ibu bapa pelajar lain turut meminta saya mengajar anak-anak mereka yang juga bakal menduduki peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia).

Sejak pelaksanaan PKP bermula Mac hingga Julai lalu, pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi terpaksa meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Guru-guru pula perlu menyediakan kandungan pembelajaran dan latihan secara dalam talian bagi memastikan para pelajar mengikuti pengajaran dan pembejaran di rumah (PdPR).

Memperincikan lebih lanjut, Farabi berkata disebabkan arahan dan peraturan ketat yang ditetapkan kerajaan, dia langsung tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) termasuk penjarakan sosial, mengenakan pelitup muka, mengambil suhu badan dan sanitasi tangan sebelum memasuki rumah pelajarnya.

Upah

Walaupun kadar bayaran yang diperoleh agak rendah, ia dilihat sepadan dengan latar belakang dan kelulusan akademik yang dimilikinya dan tidak mengeluh mengenainya kerana masih berbaloi dan lumayan.

“Satu sesi kelas selama dua jam, upahnya RM20.

“Satu bulan ada empat sesi bersamaan lapan jam, purata bayaran yang diterima saya adalah sebanyak RM80 untuk satu subjek,” katanya.

Dicongak 15 pelajar bersama dua subjek setiap seorang, purata pendapatan yang diperoleh antara RM1,000 hingga RM1,200 sebulan, yang mana 50% disimpan sebagai tabungan pengajian, kata Farabi.

Sementara itu, seorang mahasiswa tahun tiga jurusan pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata dia mendapat permintaan kelas yang mendadak di sekitar Gombak dan Kuala Lumpur sejak PKPB dilaksanakan.

Rabiatul Khalisah, 22, ketika dihubungi berkata sebelum pelaksanaan PKP pada Mac lalu, dia mempunyai 11 orang pelajar yang mengikuti kelas persendiriannya bagi subjek bahasa Inggeris dan biologi.

Bagaimanapun, katanya, bilangan pelajar bertambah kepada 35 orang selepas beberapa bulan pelaksanaan PKP.

“Ada lagi 10 orang ibu bapa menghubungi saya melalui Instagram, tetapi terpaksa ditolak kerana kekangan masa antara kuliah dalam talian dan tugasan daripada para pensyarah.”

Berbeza dengan Farabi, Rabiatul mengendalikan kelas peribadinya melalui dua cara iaitu secara bersemuka di rumah para pelajar dan mengadakan kelas dalam talian.

“Kelas bersemuka dijalankan di rumah pelajar sekitar Gombak dan berdekatan UIA sahaja. Manakala kelas dalam talian lebih kepada sesi soal jawab silibus dan soalan-soalan SPM tahun sebelumnya. Semua pelajar akan sertai kelas secara serentak,” katanya.

Katanya, kadar bayaran yang dikenakan serendah RM18 bagi satu jam dan sebanyak empat kelas dijalankan sebulan. Manakala bagi mata pelajaran biologi yuran dikenakan sebanyak RM20 sejam dan tiga sesi sebulan.

“Kelas biologi tidak mudah tetapi ia cepat kerana saya hanya menggunakan pembentangan slaid menerusi Google Meet diikuti sesi soal jawab jika terdapat persoalan yang ditimbulkan.”

Farabi dan Rabiatul berkata terdapat rakan-rakan mahasiswa di luar kawasan PKPB turut menjalankan kelas persendirian untuk calon SPM sejak pelaksaan PKP hingga kini susulan mereka dilarang berada di dalam kawasan universiti.

Irma (tengah) memberi khidmat tutor persendirian di rumah para pelajarnya sejak tahun 2015.

Saranan ‘senior’ kepada pemula

Dalam pada itu, guru-guru kelas persendirian “senior” menyambut baik usaha mahasiswa memenuhi permintaan tersebut dengan menyarankan para tutor baru mula mengajar dalam bidang kepakaran masing-masing.

“Bermulalah dengan yuran yang rendah dahulu untuk tujuan menimba pengalaman,” kata Irma Nadia Morzailan, guru persendirian di Nilai, Negeri Sembilan.

Beliau mula menjalankan tutor di rumah sejak tahun 2015 dan kini memiliki sebuah syarikat yang menyediakan khidmat tutor, penyediaan modul dan mengendalikan program akademik di kawasan Nilai, Bangi dan sekitarnya.

 

Berita penuh : https://www.malaysianow.com/berita/2020/10/28/tuisyen-persendirian-jadi-lubuk-emas-buat-mahasiswa-jana-pendapatan-ketika-pandemik/