Dakwaan yang mengatakan bahawa pelakon Mawar Rashid dan suaminya, Raf Yaakob, akan bercerai mengejutkan ramai peminat tanahair.
Dakwaan tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi di kalangan netizen yang tidak menyangka pasangan yang sering terlihat bahagia ini sedang menghadapi masalah dalam rumah tangga mereka.
Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, yang berusia 28 tahun, enggan memberikan sebarang komen atau jawapan apabila dihubungi dan memutuskan panggilan telefon tanpa berkata apa-apa.
Sebelum itu, media melaporkan Mawar dan suami iaitu Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf Yaakob, 38, sepatutnya hadir ke mahkamah syariah pada Rabu.
“Sepatutnya mereka ke mahkamah hari ini, tapi tak pasti pula kenapa tak jadi. Mungkin berbaik semula. Kita doakan saja yang baik-baik buat mereka,” kata sumber berkenaan.
Sementara itu, abang ipar Mawar, iaitu penyanyi dan selebriti terkenal Datuk Fazley Yaakob, enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan tersebut.
Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob, 45, meminta orang ramai memberikan ruang kepada pasangan tersebut.
“Saya mohon maaf, saya enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan terbabit. Saya mahu memberikan ruang kepada Raf dan isteri.
“Apa yang boleh saya cakap, saya mohon semua pihak mendoakan yang baik-baik untuk Raf dan Mawar. Saya pasti mereka akan memberi penjelasan mengenai dakwaan ini,” jawabnya ringkas.