Penduduk Kampung Batu 13 di Hulu Besut menegaskan bahwa dakwaan tentang usaha menghidupkan kembali ajaran sesat Ayah Pin di perkampungan mereka adalah tidak benar.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Rosli, 50 tahun menjelaskan bahawa sebaliknya, perhimpunan yang sering terlihat di kampung tersebut adalah majlis keramaian dan kenduri yang diadakan oleh ahli keluarga dan saudara-mara Ayah Pin, termasuk majlis perkahwinan anak Ayah Pin yang berlangsung pada bulan lalu.
“Saya terkejut apabila tiba-tiba sejak beberapa hari kebelakangan ini kecoh kononnya ajaran Ayah Pin cuba dihidupkan semula. Sebagai penduduk yang tinggal berdekatan, saya tidak nampak ada aktiviti mencurigakan di penempatan yang dihuni oleh lebih 100 penduduk ini.
“Cuma baru-baru ini (Februari lalu) memang ada majlis kenduri perkahwinan anak Ayah Pin dan ramai saudara mereka datang termasuk saya turut dijemput.
“Ahli keluarga Ayah Pin yang tinggal di sini selalu buat majlis keramaian termasuk sambutan hari jadi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Batu 13, Ab Ghani Mamat, juga mengesahkan bahawa dia tidak melihat sebarang aktiviti mencurigakan dalam tempoh terdekat.
“Saya tak nampak apa-apa pelik sehari dua ini dan pihak berkuasa memang sentiasa pantau penempatan berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, media telah melaporkan adanya percubaan dari beberapa pihak untuk mengembalikan ajaran sesat Ayah Pin yang pernah mencetuskan kontroversi dengan konsep ‘Kerajaan Langit’.