Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak akan meletakkan jawatan di sebalik konflik berhubung pembatalan Ordinan Darurat yang berkuat kuasa pada 21 Julai lalu.
Perkara itu disahkan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang menegaskan Takiyuddin akan kekal dengan portfolionya sekarang.
“Takiyuddin tidak letak jawatan. Ini keputusan (pembatalan Ordinan Darurat) kolektif daripada Kabinet, bukan tindakan seorang Menteri sahaja.
“Tiada tukar jawatan, tiada tukar portfolio, beliau kekal sebagai menteri dan kita buat apa yang patut buat untuk rakyat dan negara,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) bagi Program Vaksinasi untuk Sektor Agrikomoditi (VACOMS) di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Takiyuddin akan meletakkan jawatan selepas Ahli Parlimen pembangkang berulang kali mendesak beliau melakukan sedemikian.
sumber : https://www.astroawani.com/berita-politik/takiyuddin-tidak-letak-jawatan-kekal-sebagai-menteri-khairuddin-311975