Tular kes ‘bapa aku buat sungai ni’ akhirnya dua pemancing tegar pilih berdamai

Tular kes ‘bapa aku buat sungai ni’ akhirnya dua pemancing pilih berdamai. Baru-baru ini berlaku pertengkaran mulut antara dua orang lelaki yang mana salah seorang daripadanya mengaku bahawa Sungai Lubok Kepong itu dibuat oleh bapanya.

Lelaki terbabit melarang pak cik yang datang memancing di kawasan tersebut atas alasan orang dari negeri selain Johor tidak dibenarkan menangkap ikan di situ.

Namun, pak cik itu menegaskan bahawa dia juga merupakan orang Johor.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, @Riezan memuat naik video memperlihatkan pak cik itu sedang memancing di atas bot di sebuah sungai di Johor.

Ketika sedang memancing, pak cik itu ‘diserang’ oleh seorang lelaki yang muncul bersama botnya atas sebab tidak berpuas hati kerana memancing di kawasannya.

Bagaimanapun, lelaki terbabit menegaskan bahawa sungai itu miliknya selain mengaku ia telah dibuat oleh bapanya.

“Sepanjang kampung aku ni, bapa aku buat sungai ni, kau tahu tak? Dia buat dari zaman Tok Bangau,” ujar lelaki itu.

Pak cik tersebut hanya tergelak dan menjelaskan lagi bahawa dia tidak menggunakan tuba atau racun untuk menangkap ikan, sekali gus berasa hairan kenapa perlu dimarahi kerana memancing di kawasan berkenaan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen berkata ini pertama kali mereka melihat pergaduhan orang yang berebut sungai.

Pilih berdamai

Bagaimanapun pergaduhan itu sampai ke tangan polis. Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata pihaknya menerima dua laporan polis daripada individu berkaitan.

Laporan itu dibuat kerana kedua-dua pemancing tersebut mahu menyelesaikan masalah perselisihan faham dengan cara baik.

Ahmad Zamry turut meluahkan kesyukuran kerana kedua-dua pemancing pilih berdamai dan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan kerjasama daripada mereka.

Pada sama masa, beliau turut menasihati orang ramai untuk menghentikan penyebaran atau mengeluarkan sebarang kenyataan tidak tepat berkenaan isu tersebut.

Baca juga: Ramai lelaki idamkan teman wanita AI, ada yang mahu melamar perkahwinan