Ketukan misteri yang sebelum ini menimbulkan ketakutan di beberapa kawasan di negeri Pahang, Selangor, dan Negeri Sembilan kini dilaporkan turut berlaku di Perlis.
Perkara itu kini tersebar melalui media sosial, ramai juga mendakwa bahawa ketukan misteri itu telah menyebar ke kawasan Chuping dan Arau di sini.
Fatin Adilla Rosli, 31, penduduk Kampung Baru Lubuk Machang di Chuping menyatakan bahawa dia mendengar bunyi tersebut di rumahnya pada kira-kira pukul 2.30 pagi pada Jumaat yang lalu.
“Ia berlaku ketika saya pulang ke rumah selepas bertemu rakan dan sedang berehat bersama ibu di ruang tamu rumah, tiba-tiba saya terdengar ketukan kuat dari arah tingkap bilik sebanyak dua kali.
“Saya berasa takut dan enggan ambil risiko lalu membiarkan saja ketukan itu. Ia berlaku tidak lama, hanya dua minit,” katanya.
Mohammad Zalghafari Mohd Zainuddin, 25 pula mendakwa bahawa gangguan ketukan misteri berlaku di rumah keluarganya kira-kira pukul 2.45 pagi.
“Saya baru sampai rumah kira-kira pukul 2 pagi, lalu terdengar ketukan kuat sebanyak tiga kali di tingkap bilik dan menyelak langsir kerana bimbang kehadiran pencuri.
“Bagaimanapun tiada kelibat sesiapa di sekitar rumah. Saya tidak berpuas hati lalu keluar memeriksa, namun tidak ada orang di luar rumah,” ujarnya.
Kedua-dua penduduk kampung tersebut juga dimaklumkan bahawa kira-kira 30 rumah lain turut menerima ketukan misteri tersebut antara pukul 2 hingga 4 pagi menerusi kumpulan WhatsApp komuniti setempat.
Penduduk setempat turut meminta bantuan polis meronda kawasan sekitar kerana bimbang kehadiran pencuri bagi mengelakkan kejadian curi dan sebagainya.
Baca juga: Pasport Singapura paling berkuasa di dunia, Malaysia di tangga ke-12