Tular Najib main golf di Singapura, “Takkan 24 Jam saya dengan cucu”

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang mempertikaikan tujuannya berada di Singapura baru-baru ini.

Dalam kemas kini di laman sosial, Najib kesal kerana keberadaannya di Singapura untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa yang melahirkan anak kedua dijadikan isu.

“Ini pun jadi isu? Takkan saya bersama cucu 24 jam setiap hari selama tempoh enam hari saya berada di Singapura,” soal Najib dalam hantaran di Facebook.

Najib menjelaskan individu bersamanya dalam gambar yang tular ialah jutawan Singapura, Sam Goi Seng Hui, iaitu pemilik Sutera Harbour Resort di Sabah dan peminat dasar ekonomi Malaysia semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari 2009 hingga 2018.

“Sam kini berada di tempat ke-23 dalam senarai Forbes paling kaya di Singapura dengan kekayaan AS$1.7 bilion… Ya, kereta Rolls-Royce itu adalah milik dia.

“Masa kita bertemu, dia banyak meminta pandangan saya tentang hala tuju pembangunan dan ekonomi negara sebab dia ingin lebih melabur di Malaysia.

“Adakah salah saya gunakan masa peribadi untuk beri pandangan saya kepada pelabur asing yang ingin melabur ke Malaysia biarpun saya bukan PM dan bukan menteri lagi?” tulisnya.

SUMBER : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tular-gambar-main-golf-di-singapura-takkan-24-jam-dengan-cucu-najib-335975