Tular video Khairul Aming sakan belanja staff persiapan raya, tapi lain pulak yang netizen komen

Seperti tradisi setiap tahun, usahawan dan pengaruh media sosial, Khairulaming, tidak berkira dalam mengeluarkan wang untuk memberi kegembiraan kepada pekerjanya menjelang sambutan Aidilfitri yang tidak lama lagi.

Khairul Amin Kamaruzzaman, yang dikenali sebagai Khairulaming, baru-baru ini mengambil keputusan untuk menutup dua operasi kilangnya demi membawa kesemua 100 pekerjanya untuk membeli baju raya.

Menerusi perkongsian di laman sosial, jelas terlihat riak wajah kegembiraan dari kesemua staf kilang Sambal Nyet dan Dendeng Nyet ketika dibawa ke sebuah gedung pakaian terkenal untuk membeli baju raya.

Tidak cukup dengan itu, Khairul Aming turut membelanjakan sebahagian wangnya untuk membelikan keperluan dapur buat kesemua pekerjanya menjelang sambutan hari raya aidilfitri yang bakal tiba.

Paling menggembirkan, usahawan berusia 31 tahun itu memberikan bonus raya kepada setiap pekerjanya sebagai tanda penghargaan atas usaha dan pengorbanan mereka dalam membangunkan jenama produknya.

“Kita kongsi rezeki dengan mereka, dengan harapan duit raya ini dapat bantu mereka buat persediaan raya dengan family,” ujarnya di dalam video yang dikongsikan di laman sosial.

Perkongsian tersebut menarik perhatian netizen, yang kebanyakan memuji selebriti media sosial itu kerana sentiasa menjaga kebajikan pekerjanya.

Selain dibanjiri dengan pujian, ruangan komen juga menjadi lucu kerana rata-rata netizen turut mahu bekerja dengan usahawan tersebut.

“Bang, ada kerja kosong tak? Saya boleh jadi tukang rasa sambal.

“Macam manalah staf tak sayang bos baik macam ni. Selamat maju jaya Khairulaming dan team.

“Wow duit raya bukan kaleng-kaleng. Tebal benor!,” demikian antara komen netizen.

Baca juga: Kerja syif malam tapi nak cari Lailatulqadar? Ikut nasihat ini, moga amalan diterima oleh Allah