Tulis di kotak ‘pekasam ikan’, padahal jual air ketum

Dua lelaki tertangkap apabila dua kotak polistrin dan sebuah beg plastik yang tertulis ‘pekasam ikan’ sebenarnya berisi air ketum. Kejadian dikatakan berlaku di Shahab Mergong, Alor Setar.

Taktik dua lelaki itu kononnya menjual ikan pekasam terbongkar selepas sepasukan pegawai polis dari Balai Polis Alor Setar yang diketuai Inspektor Rozilan Mat Yusoff melakukan serbuan, 10.45 malam tadi lapor Harian Metro.

Serbuan dilakukan berdasarkan maklumat yang diperolehi dan perbuatan mencurigakan dua lelaki berusia 20 dan 21 tahun yang kononnya penjual ikan pekasam.

Sembunyi ketum sebab tak mahu ditangkap

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, dua kotak polistrin dan bekas plastik itu mengandungi 290 bungkusan plastik mengandungi daun disyaki ketum.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati jumlah keseluruhan daun ketum itu dianggarkan seberat 58 kilogram (kg). Mereka disyaki menjual daun ketum itu di kawasan berkenaan kepada pelanggan tertentu bagi mengelak dikesan polis.

Berikutan itu dua lelaki tersebut ditahan untuk membantu siasatan dan dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk tindakan lanjut bersama daun ketum yang dirampas.

“Siasatan masih dilakukan untuk mengetahui lebih lanjut pembabitan mereka dalam kegiatan itu,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

Baca Juga: Suhu panas melampau, pakar perubatan beri amaran risiko lonjakan kes kanser kulit

Baca Juga: Lelaki kongsi kepayahan belajar di SJKC, ada pelajar Melayu tertinggal pelajaran sebab tak kuasai bahasa Cina