Tun M gesa MP tolak belanjawan esok

Pejuang yang mempunyai 4 ahli parlimen menolak Belanjawan 2021 dan mahukan Muhyiddin Yassin meletak jawatan serta perdana menteri baharu di pilih oleh Dewan Rakyat sekiranya belanjawan itu tidak memperolehi sokongan majoriti, kata Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan, pengasas Pejuang itu menyifatkan Belanjawan 2021 sebagai “mengecewakan” dan membidas kerajaan kerana tidak peka kepada pandangan Ahli Parlimen mahukan kritikan rakyat.

Jelasnya, jika belanjawan itu tidak diluluskan, ia menjadi bukti bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah hilang kesahihan kerana ia tidak mempunyai majoriti cukup untuk meluluskan belanjawan.

“Apabila ini berlaku, jika perdana menteri seorang yang bermaruah ia akan meletak jawatan. Seterusnya, jika di dalam suasana biasa, ia boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Palimen,” katanya.

Tambahnya, walaupun pilihan raya umum sukar untuk dilaksanakan ketika negara berdepan wabak Covid-19, namun proses yang boleh dipertimbang ialah memberi peluang kepada Parlimen menentukan siapakah Ahli Parlimen yang mempunyai sokongan majoriti.

“Jika Agong berpuas hati bahawa Ahli Parlimen tersebut mempunyai sokongan majoriti, maka dia boleh dipilih  menjadi perdana menteri untuk menubuhkan kerajaan baharu dan berkhidmat sehingga tamat penggal pemerintahan dan tiba masa untuk pilihanraya umum ke-15 diadakan,” katanya.

Mahathir berkata Pejuang turut menolak Belanjawan 2021 kerana ada cubaan mengenakan kekangan terhadap ahli-ahli parlimen semasa perbahasan.

Menurut Mahathir, beliau dan Ahli Parlimen partinya menolak Belanjawan 2021 setelah mendapati tidak ada sebarang usaha oleh pihak kerajaan untuk mendengar atau menerima pandangan yang diajukan ahli parlimen, mahupun kritikan rakyat.

“Kerajaan (juga) bertindak mengugut Ahli Parlimen dengan naratif bahawa jika Belanjawan 2021 ditolak maka gaji, elaun dan pencen penjawat awam dan petugas barisan hadapan tidak dapat dibayar.

“Selain itu, ugutan juga menjurus kepada cubaan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan rakyat bahawa jika belanjawan tidak lulus maka bantuan kewangan tidak akan sampai kepada rakyat yang memerlukannya,” katanya.

Menurut Mahathir, beliau sudah menerangkan bahawa meskipun Belanjawan 2021 tidak diluluskan di Dewan Rakyat, ia tidak menghalang kerajaan daripada menyalurkan gaji, pencen dan elaun kepada penjawat awam dan petugas barisan hadapan.

“Begitu juga, bantuan kewangan untuk keperluan rakyat tidak akan terjejas. Penyaluran kewangan tanpa belanjawan diluluskan berlaku pada tahun 1999 untuk sesi Belanjawan tahun 2000,” katanya.

Bahkan katanya, kerajaan pimpinan Muhyiddin juga tidak menerangkan secara jelas bahawa perbelanjaan untuk penjawat awam dan petugas barisan hadapan sudah diperuntukkan sehingga akhir Jan 2021.

Empat Ahli Parlimen dari Pejuang adalah Mahathir (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

COMMENTS