Dr Mahathir Mohammad hari ini mengecam bekas anak didiknya Muhyiddin Yassin, dengan menuduh perdana menteri menggunakan nama Agong untuk terus kekal berkuasa dengan menggunakan darurat.
Bekas perdana menteri itu, yang mengetuai kumpulan kecil ahli Parlimen pembangkang di blok Pejuang turut mengatakan pengisytiharan darurat tidak sah.
Beliau juga turut bertindak mempersoalkan tindakan mengekalkan Muhyiddin sebagai perdana menteri di bawah perintah darurat.
“Dengan pengekalan kuasa perdana menteri, maka hak untuk menasihat Yang di-Pertuan Agong dikekalkan. Ini bermakna apa sahaja yang dilakukan di bawah nama Yang di-Pertuan Agong adalah atas nasihat perdana menteri,” katanya.
Katanya, langkah itu bermaksud tindakan di bawah perintah darurat ia menggambarkan Agong sebagai “diktator yang zalim”.
Tegas Mahathir, tindakan yang diambil untuk memerangi pandemik Covid-19 boleh dilakukan dengan menggunakan undang-undang sedia ada.
“Sejak darurat diisytihar tidak ada satu pun tindakan yang diambil dalam membanteras wabak Covid-19 yang hanya dapat dilakukan di bawah undang-undang darurat,” kata Mahathir.
Katanya dakwaan bahawa wabak Covid-19 perlu ditangani di bawah undang-undang darurat adalah “pembohongan”.
Mahathir turut mendakwa Muhyiddin sebenarnya sudah hilang kepercayaan majoriti ahli Parlimen ketika menasihati Agong untuk mengisytiharkan darurat bagi memerangi Covid-19.
“Sesungguhnya kerajaan sekarang tidak berasas pada undang-undang, jelas membohong kononnya memerlu darurat untuk bendung Covid-19, menyalah guna nama Yang di-Pertuan Agong untuk dilindungi daripada tuduhan membuat salah, menutup mulut rakyat dan wakil mereka dengan menggantung Parlimen, mengamal rasuah, mengugut dengan hukuman berat sesiapa yang persoal tindakan kerajaan, bertindak bertentangan dengan peruntukan undang-undang, memburukkan ekonomi, dan kehidupan sosial rakyat dan memerintah sebagai diktator yang tidak boleh ditentang,” kata Mahathir.
Pengisytiharan darurat bulan lalu dilakukan ketika beberapa ahli parlimen Umno yang dipimpin oleh bekas perdana menteri, Najib Razak memberikan ugutan untuk keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional, walaupun berulang kali diingatkan oleh pihak istana kepada ahli politik untuk tidak berebut kuasa ketika pandemik Covid-19 menular.
Minggu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersetuju dengan pelantikan bekas ketua hakim negara, Arifin Zakaria bagi mengetuai jawatankuasa khas untuk menasihatinya sepanjang tempoh darurat yang bakal tamat pada Ogos ini.
Dalam memperincikan pelaksanaan darurat bulan lepas, Muhyiddin mengatakan sebuah kerajaan rakyat dikekalkan meskipun Parlimen digantung untuk menghalang pilihan raya mengejut, dengan semua aktiviti harian dibenarkan.
Muhyiddin turut berjanji akan mengadakan pilihan raya jika jawatankuasa khas berpendapat keadaan kesihatan awam dapat dikawal.
“Ini komitmen saya yang akan saya tunaikan,” tambahnya.
MalaysiaNow