Pengumuman pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail berkenan untuk mendermakan rumput hibrid kepada Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur mengundang reaksi risau warganet.
Rata-rata bimbang lagi rancak konsert akan diadakan selepas ini.
“Rumput baru selesa sikit nak susun pentas dan speaker.
“Lepas ni boleh buat konsert lagi. Mesti penonton duduk atas padang rasa empuk.
“Baru sedap sikit bunyi konsert, rumput padu,” antara sindiran warganet.
Ramai berpendapat tidak salah memberi sumbangan tetapi lebih baik memberi pada yang menghargai.
Sebelum ini, gelanggang keramat Harimau Malaya itu kerap rosak akibat penganjuran siri konsert.
Menerusi satu kenyataan JDT berkata, hasil kaji selidik yang dijalankan di padang Stadium Nasional menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih sesuai ditanam di padang itu.
Menurut JDT, rumput hibrid memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.
“Inisiatif itu dititahkan oleh baginda selepas mengadakan pertemuan bersama Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC),” kata JDT dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.
Sebelum ini, Tunku Ismail turut berkenan menaja penukaran rumput di Stadium Nasional daripada jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia.
Namun, keadaan padang yang digunakan bukan hanya untuk acara sukan menyebabkan rumput Zeon Zoysia itu sering mengalami kerosakan.
Dalam pada itu, rumput Zeon Zoysia yang sebelum ini ditanam di Stadium Nasional akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara.
“Padang tersebut sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara,” kata kenyataan itu lagi.
BACA JUGA 5 tips kawal tantrum anak, nombor 3 tu kena sabar rumah sedikit bersepah